Piala Malaysia: Fandi renung prospek lepasi rintangan separuh akhir


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 23 Dis 2024

Sri Pahang berjaya mencuri slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2024 selepas menyingkirkan Perak FC di peringkat suku akhir dengan agregat 4-3 pada Ahad. — Facebook/Sripahangfc

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

YA, ia sudah agak lama,” akui Fandi Ahmad, "saya pun tak pasti bila tapi saya diberitahu dah lima tahun kami tak layak ke separuh akhir Piala Malaysia.”

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC itu tidak harus dipersalahkan kerana dalam kemaraan terakhir ke separuh akhir musim 2019, dia masih mengendalikan skuad B-22 Singapura sambil skuad Tok Gajah yang dibintangi penyerang, Dickson Nwakaeme, ketika itu dikendalikan oleh Datuk Dollah Salleh.

Dengan format empat kumpulan mengandungi 16 pasukan – 11 teratas dalam Liga Super dan lima teratas Liga Perdana – Pahang menjuarai Kumpulan C yang mengandungi Perak, Penang dan Sabah untuk mara ke suku akhir.

Menyingkirkan Melaka United dalam suku akhir – 3-0 di tempat lawan dan 3-1 di tempat sendiri – ujian sebenar buat Tok Gajah hadir dalam separuh akhir ketika berdepan Kedah.

BACA LAGI : Tiba masanya Aidil Sharin manfaatkan ex JDT tamatkan badi Kuching berdepan Sabah

BACA LAGI : Dulu tidur petang, Fandi Ahmad tegur pemain Sri Pahang kurang berdisiplin, fokus atas padang

WhatsApp Image 2024-12-23 at 18.09.28

Meskipun meraih keputusan seri, Fandi Ahmad meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas hati akan prestasi anak buahnya yang dilihat tidak cukup berdisiplin di atas padang. — Facebook/Sripahangfc

Seri 3-3 di Alor Setar, kedua-duanya sekali lagi terikat 5-5 dalam aksi timbal balik bagi agregat 8-8 untuk Kedah meraih hak ke final bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Semua itu hanya tinggal sejarah selepas Sri Pahang FC mengakhiri penantian lima tahun untuk kembali ke separuh akhir hasil keputusan seri 3-3 dengan Perak FC di Stadium Temerloh pada Ahad yang memberikan mereka kemenangan agregat 4-3.

“Tentunya ia sesuatu yang bagus untuk dapat kembali (ke separuh akhir). Penyokong dah lama ternanti- nantikan detik ini,” sambung Fandi kepada Bola Pegun.

Berkelebihan 1-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Manjung pada 13 Disember lalu, jurulatih berusia 62 tahun itu sedar pasukannya tidak akan mendapat laluan mudah. Tambahan, aksi liga di antara kedua-dua pasukan di Temerloh pada 28 September dimenangi pelawat 3-0.

Menolak sebarang rasa gemuruh menghadapi aksi timbal balik malam tadi, Fandi lebih bimbangkan cuaca kerana ia hujan sebelum perlawanan.

“Kita pun tahu sukar untuk bermain dalam hujan di Temerloh apabila padang ditakungi air (seperti ketika seri 1-1 dengan Selangor FC pada 23 November). Mujur keadaan baik ketika perlawanan untuk kedua-dua pasukan menyajikan permainan menarik,” katanya.

WhatsApp Image 2024-12-23 at 19.37.10

Hidalgo (kanan) mencetak hatrik untuk memastikan kemaraan buat pasukannya dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia. Facebook/Sripahangfc

Sri Pahang FC mendapat permulaan impian menerusi gol Manuel Hidalgo seawal minit kelima, disusuli gol penyamaan Wan Zack Haikal Wan Noor berselang empat minit. Sekali lagi kelebihan daripada sepakan penalti Hidalgo (m-30) dipadamkan gol Jesper Nyholm (m-42).

Separuh masa kedua memberikan gambaran tidak banyak berbeza apabila satu lagi sepakan penalti Hidalgo (m-45+3) untuk mendahului 3-2 kemudian menyaksikan Daniel Hakimi Azmil mengimbangi kedudukan pada minit ke-54.

“Kami bermula dengan cemerlang tapi selepas kedudukan 1-1, momentum jadi perlahan sedikit. Perak sebuah pasukan bagus dan saya tahu mereka akan datang mengasak kami. Mereka menghukum kami dalam situasi bola mati.

“Tapi saya yakin kami akan terus menjaringkan gol. Cuma ada tiga atau empat serangan balas yang kami sepatutnya mendapat jaringan tapi gagal.

“Menuju ke minit-minit akhir, kami sudah membuat pertukaran dan menukar formasi. Ketika itu kami kekurangan pemain serangan tapi saya masih percaya kami mampu bertahan untuk ke separuh akhir,” tambah Fandi.

WhatsApp Image 2024-12-23 at 18.09.28 (2)

Kapten Tok Gajah, Kpah Sherman memainkan peranan penting dalam membantu Sri Pahang mara ke separuh akhir Piala Malaysia.Facebook/Sripahangfc

Di sebalik kejayaan malam tadi, jurulatih itu mengakui masih banyak perlu diperkemaskan andai pasukannya berhajat mara lebih jauh daripada separuh akhir.

Antaranya, kekerapan pemain-pemainnya hilang penumpuan nyaris menyebabkan mereka terhukum dengan kekalahan. Sri Pahang FC membiarkan terlalu banyak ruang untuk dieksploitasi pelawat dengan mengatur serangan mencemaskan.

Selain itu, mereka tidak boleh leka dalam keadaan lawan mendapat situasi bola mati hingga menyebabkan pintu gol mereka bolos.

Fandi bagaimanapun yakin kejayaan malam tadi memberi pasukannya sedikit sebanyak pengajaran sebagai bekalan untuk mengulangi kemaraan ke final yang kali terakhir dicapai Sri Pahang apabila muncul juara menewaskan JDT 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 hingga tamat masa tambahan pada musim 2014.

Malah, jurulatih itu turut berkongsi pasukan yang diharapnya menjadi lawan dalam separuh akhir nanti daripada pertemuan Sabah FC-Kuching City FC pada Isnin.

“Saya lebih pilih untuk jumpa .......,” kata Fandi yang meminta jawapannya dirahsiakan sambil merujuk kepada keputusan seri 2-2 dengan Kuching City FC di Kuching pada 19 Mei di samping tewas 2-3 kepada Sabah FC di laman sendiri pada 9 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram