Lantang kritik mutu pengadilan, Fandi Ahmad berisiko hadapi nasib dialami 'coach' Kedah, Pahang dan Kelantan


  • Podium
  • Ahad, 22 Dis 2024

Fandi Ahmad sudah tentu menyedari risiko selepas membuat kritikan secara terbuka kepada pihak media. — Facebook/Sri Pahang FC

MUTU pengadilan menjadi topik perbualan ketika pertemuan Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa lalu.

Hal itu turut dibangkitkan pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad yang berang akan beberapa keputusan pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli selepas dia tidak melayangkan sebarang kad kuning kepada pihak lawan.

Dalam sesi sidang media selepas perlawanan, jurulatih kelahiran Singapura berkenaan berpandangan pemain JDT sepatutnya diberikan amaran kerana membuat kekasaran ke atas penyerangnya, Kpah Sherman.

BACA LAGI: Kritik JDT tak dapat kad, FAM jawab semula kenyataan Fandi Ahmad, pengadil buat keputusan tepat

BACA LAGI: ‘Harap penalti saja’, bukan puji diberi tapi fans Sang Penyu pilih kritik ketajaman Bonilla

Luahan Fandi itu kemudiannya menerima perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menegaskan mutu pengadilan dalam pertembungan tersebut tidak bermasalah, malah cemerlang.

Bagaimanapun, bekas pengendali JDT tersebut bernasib baik apabila terlepas daripada sebarang hukuman dengan keluhan sedemikian boleh membawa hukuman daripada badan induk bola sepak negara.

Ini kerana berdasarkan pengalaman lalu, terdapat tiga jurulatih yang secara terbuka mempersoalkan mutu pengadilan dalam negara, namun masing-masing berdepan nasib berbeza.

1. Datuk Dollah Salleh

Sebelum hanya bergelar 'orang kanan' kepada Fandi Ahmad, Datuk Dollah Salleh pernah diangkat sebagai antara jurulatih terbaik dalam Liga Super dengan beberapa kelab pernah merasai sentuhannya.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa kemuncak kepada kariernya adalah ketika dia bersama Pahang yang menyaksikannya diangkat penyokong kelab Pantai Timur terbabit.

Dollah-Salleh

Dollah dikenakan hukuman penggantungan dan denda berikutan kenyataan dibuat.

Bagaimanapun, dia yang merupakan legenda bola sepak tanah air juga tidak terkecuali daripada kontroversi sedemikian kerana pada 2017, Dollah dikenakan hukuman berat daripada organisasi berkenaan.

Pada ketika itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu mendapati jurulatih yang kini berusia 61 tahun itu melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM berserta Artikel 99 Statut FAM.

Ini kerana Dollah membuat kritikan terhadap mutu pengadilan di ruangan media sehingga menyaksikannya mengenakan penggantungan 18 bulan selain dikenakan denda sebanyak RM30,000.

2. Rezal Zambery Yahya

Pada November 2021, Rezal Zambery diberikan peranan sebagai ketua jurulatih Kelantan FC memandangkan sentuhannya cukup diyakini untuk membawa mereka kembali ke kancah Liga Super.

Tetapi, tempohnya di kelab Pantai Timur itu turut diwarnai kontroversi kerana FAM pernah mengenakan tindakan susulan tindakannya mengkritik badan bola sepak negara itu.

EA8F57C8-98D3-4EEA-8D3D-F414CC2D1C0B

Rezal Zambery membuat kritikan selepas pasukannya tewas kepada Sabah FC.Facebook/Kelantan FC

Hukuman tersebut dikenakan akibat satu komen dibuatnya selepas aksi Piala Malaysia menentang Sabah FC yang menyaksikan kelab Pantai Timur itu tewas 0-4 di laman sendiri.

Komen dibuat pengendali berusia 46 tahun itu dibuat selepas skuad The Red Warriors (TRW) berasa keadilan tidak berpihak kepada mereka selepas dua sepakan penalti diberikan kepada skuad Sang Badak.

Rezal kemudiannya dikenakan denda sebanyak RM10,000 dengan FAM menyatakan bahawa Rezal sudah melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM.

3. Wan Jamak Wan Hassan

Tempoh bekas pengendali tempatan, Wan Jamak Wan Hassan bersama Kedah FA tidak membuahkan hasil kerana penyokong Hijau Kuning tidak mempunyai hubungan baik dengannya.

Bagaimanapun, ketika kira-kira semusim di kelab itu, jurulatih berkenaan pernah dikenakan hukuman badan induk bola sepak negara itu berikutan tindakan membuat kritikan terhadap mutu pengadilan.

WhatsApp Image 2024-12-21 at 5.29.08 PM

Tempoh Wan Jamak di Kedah tidaklah begitu diingati.

Luahan tersebut dibuat selepas Kedah gagal meraih kemenangan ketika berdepan Perak FA dalam pertembungan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia 2011 yang menyaksikan mereka berputih mata untuk mara ke pusingan seterusnya.

Berdasarkan laporan, Wan Jamak berdepan hukuman penggantungan dalam tempoh jangka masa enam bulan hingga dua tahun berserta dengan denda wang tunai RM6,000 dengan amauan itu cukup besar bagi seorang jurulatih.

Namun, Wan Jamak difahamkan tidak dikenakan tindakan sedemikian kerana dia berjaya membuat rayuan sebelum meneruskan kariernya selama semusim bersama skuad Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram