Hampir sah ke gergasi EPL, prospek hangat Uzbekistan rupanya rakan sepasukan bekas bek Selangor


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Abdukodir wajar diangkat sebagai antara bek tengah muda paling bersinar di Eropah ketika ini. — Agensi

LEMBARAN baharu terbuka dalam landskap bola sepak di Asia apabila gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City difahamkan bakal mengumumkan kehadiran pemain muda Uzbekistan, Abdukodir Khusanov tidak lama lagi.

Dalam laporan media antarabangsa sejak minggu lalu, skuad The Cityzens sanggup membayar £33.5 juta (RM184 juta) kepada majikan pemain terbabit, RC Lens di Perancis dengan ujian perubatan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sekiranya perpindahan itu dimeterai, ia akan menghangatkan lagi arena sukan tersebut, lebih-lebih lagi sekitar Asia Tengah kerana Khusanov akan menjadi pemain Uzbekistan pertama beraksi di liga terbabit.

BACA LAGI: Kisah Umarbek ulangi 'tragedi' 3 bintang Selangor angkat kaki tengah musim ketika 'on form'

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang Umarbek buka peluang Selangor sambar 4 bek 'top class' Piala AFF

Gg9a561XIAA3nIH

Perpindahan Abdukodir ke Manchester City akan diselesaikan dalam masa terdekat. Facebook/Fabrizio Romano

Namun, tahukah anda bahawa penghijrahan berkenaan turut meninggalkan kesan besar terhadap dunia bola sepak tempatan kerana pemain berusia 24 tahun terbabit pernah beraksi di samping bekas pertahanan tengah Selangor FC, Umarbek Eshmurodov.

Berdasarkan statistik dikeluarkan di laman sesawang transfermarkt, kedua-dua mereka pernah bersama-sama di atas padang sebanyak 11 kali ketika beraksi buat skuad kebangsaan Uzbekistan.

Ini termasuk tiga penampilan bersama-sama dalam saingan Piala Asia tahun lalu dengan khidmat dua bek tengah terbabit menjadi nadi di sebalik kebangkitan skuad bimbingan Srecko Katanec beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menarik lagi, sepanjang Umarbek dan Abdukodir bersama-sama di atas padang, negara di tangga ke-58 dunia itu tidak pernah mengalami kekalahan, sekali gus membuktikan persefahaman baik antara satu sama lain.

466888276_18465702406010201_800392788195721433_n

Abdukodir (2) beraksi di samping Umarbek (15) buat Uzbekistan penghujung tahun lalu. Facebook/Uzbekistan Football Association

Minit permainan diluangkan antara satu sama lain itu sememangnya menarik untuk diperkatakan kerana selepas ini, Abdukodir berpeluang beraksi di samping bek bertaraf dunia seperti Manuel Akanji, Ruben Dias dan John Stones.

Bagi Umarbek pula, dia yang meluangkan tempoh hampir setahun bersama Selangor FC pasti berharap dapat berada dalam satu pasukan bersama rakan senegaranya itu dengan harapan impak besar dapat diberikan.

Pemain berusia 32 tahun itu kini beraksi buat gergasi bola sepak Uzbekistan, FC Nasaf selepas kontraknya bersama skuad Gergasi Merah ditamatkan lebih awal dengan pihak pengurusan kelab tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sepanjang tempoh dihabiskan di Lembah Klang, Umarbek menjadi nadi pasukan dalam barisan pertahanan dengan 19 penampilan secara keseluruhan yang direkodkan membuktikan nilainya dalam pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram