Kisah Umarbek ulangi 'tragedi' 3 bintang Selangor angkat kaki tengah musim ketika 'on form'


  • Podium
  • Khamis, 02 Jan 2025

Umarbek merupakan seorang pemain pertahanan kental sepanjang lebih lapan bulan beraksi buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

SEPANJANG kira-kira lapan bulan beraksi buat skuad Gergasi Merah, Umarbek Eshmurodov meninggalkan pelbagai kenangan manis sebagai seorang pertahanan tengah yang kental dalam pasukan.

Meskipun memiliki tubuh badan yang agak sasa, pemain berusia 32 tahun berkenaan memiliki kepantasan untuk mengejar pihak lawan atau menutup kesilapan rakan sepasukan.

Selain itu, bintang skuad kebangsaan Uzbekistan berkenaan kerap melakukan terjahan bersih untuk menggagalkan setiap percubaan terhadap pintu gawang sendiri dengan pengalaman dimilikinya mengelakkan dirinya daripada dipersalahkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang Umarbek buka peluang Selangor sambar 4 bek 'top class' Piala AFF

BACA LAGI: Umarbek tinggalkan Selangor, peluang cerah buat Kinoshi contohi stail Terengganu FC

Bagaimanapun, memandangkan terdapatnya lambakan bek tengah dalam pasukan, Selangor FC mengambil keputusan menggugurkannya, sekali gus menyaksikan pemain itu berkelana ke negara kelahirannya, Uzbekistan dan menyertai FC Nasaf.

Keputusan tersebut menimbulkan tanda tanya kerana penyokong berasakan kehilangan Umarbek akan memberi tamparan hebat memandangkan pemain berkenaan berada dalam prestasi baik ketika ini.

Namun, ini bukanlah kali pertama skuad Gergasi Merah kehilangan pemain yang berkualiti pada pertengahan musim kerana mereka pernah mengucapkan selamat tinggal kepada tiga bintang pada musim-musim dahulu.

1. Azrif Nasrulhaq (2016)

Sehingga kini, saga perpindahan Azrif Nasrulhaq pada 2016 masih meninggalkan luka yang dalam terhadap penyokong skuad Gergasi Merah kerana pelbagai konflik timbul pada tempoh berkenaan.

Ini kerana pemain pertahanan sayap itu melakukan desakan hebat terhadap pihak pengurusan pada tahun berkenaan apabila hatinya meronta-ronta untuk menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

464714987_9003022523082886_3865427830829246079_n

Azrif pernah menjadi salah seorang bek sayap terbaik dalam skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan bertarik-tali, Selangor FC akhirnya akur apabila seteru Liga Super itu membuat tawaran mencecah ratusan ribu ringgit untuk menebus kontraknya.

Perpindahan itu sememangnya pahit untuk ditelan kerana ketika itu, Azrif merupakan antara pemain pertahanan terbaik dalam negara dengan kehadirannya membantu skuad Gergasi Merah menjulang Piala Malaysia pada tahun sebelumnya.

Malah, sehingga hari ini, kehilangan pemain yang kini beraksi buat Sri Pahang FC itu masih dirasai kerana skuad Gergasi Merah tidak memiliki pertahanan sayap berkualiti selepas beberapa kali percubaan dibuat.

2. Nor Hakim Hassan (2023)

Pada permulaan era Tan Cheng Hoe bersama skuad Gergasi Merah sekitar penghujung 2022, peluang kerap diberikan kepada pemain sayap, Nor Hakim Hassan yang memiliki kepantasan selain kebolehan melakukan hantaran lintang mengelirukan.

Namun, pada musim berikutnya, penyerang itu kurang meraih minit permainan berikutan kejayaan kelab Lembah Klang itu membawa masuk Faisal Halim dengan kelainan ketara dibawanya.

hakim31_1643635031

Nor Hakim memiliki nilai tersendiri dalam skuad Gergasi Merah satu ketika dahulu.

Gusar akan peluang yang kian terhad, dia mengambil keputusan berkelana pada jendela perpindahan untuk menyertai Terengganu FC meskipun beberapa kelab lain dilaporkan turut membuat tawaran.

Keputusan itu sekali lagi menimbulkan tanda tanya kerana ketika itu, dia masih membawa impak terhadap permainan, lebih-lebih lagi ketika berdepan barisan pertahanan lawan yang semakin keletihan pada penghujung perlawanan.

Malah, lebih melukakan lagi, penyerang sayap berusia 33 tahun tersebut turut memainkan peranan ketika skuad Sang Penyu menyingkirkan majikan lamanya dalam pertembungan epik suku akhir Piala Malaysia 2023.

3. Reziq Bani Hani (2024)

Insiden simbahan asid terhadap Faisal pada tahun lalu menyaksikan Selangor FC tempang memasuki musim baharu apabila mereka tidak memiliki pemain sayap yang boelh diturunkan.

Menyedari perkara itu, pihak pengurusan segera membawa masuk pemain sayap muda dari Jordan, Reziq Bani Hani dari Al-Faisaly dengan laporan mengatakan kelab berkenaan mengeluarkan kos mencecah RM500,000 untuk mendapatkan khidmatnya.

reziq

Pemergian Reziq secara mengejut masih menimbulkan tanda tanya. Facebook/Selangor FC

Namun, pelaburan tersebut agak berbaloi kerana kapten skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Jordan itu tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri dengan penyokong turut berpuas hati dengan kelibatnya.

Tetapi, seperti mana dialami Nor Hakim dan Umarbek, pemain berkenaan secara tiba-tiba meninggalkan Selangor FC dan menyertai Al-Hussein dengan tiada sebarang penjelesan diberikan.

Penghijrahan Reziq ke kelab itu membuahkan hasil apabila namanya kembali melonjak sementara skuad Gergasi Merah tempang di jentera sayap sehingga terpaksa meletakkan pemain seperti Yohandry Orozco dan Mukhairi Ajmal yang tidak sinonim dengan posisi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram