Hilang 3 tonggak bertemu JDT, bek senior antara opsyen Sabah tangani Harimau Selatan


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Sabah akan berkunjung ke Iskandar Puteri bagi aksi Liga Super pada Sabtu. — Facebook/SabahFC

MENJELANG kunjungan Sabah FC ke Iskandar Puteri, The Rhinos menerima ujian apabila tiga tonggak utama tidak dapat beraksi menjelang pertemuan menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano mendedahkan bahawa pasukan yang berpangkalan di Borneo itu kehilangan kudrat Gabriel Peres, Telmo Castanheira dan Daniel Ting untuk berdepan anak-anak buah Hector Bidoglio.

Berdasarkan rekod, Peres yang bertugas selaku bek tengah The Rhinos dikenakan penggantungan selepas menerima kad merah ketika berdepan Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak pada 4 Disember lalu.

BACA LAGI: Masalah gaji antara 3 sebab Sabah mungkin 'tenggelam' aksi Piala FA lawan TFC

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah, Selangor jangan kecewa dahulu, ini 3 'comeback' epik dalam Piala FA

Tonggak tengah, Telmo dan Ting yang beraksi sebagai pertahanan kiri pula dikenakan penggantungan automatik selepas masing-masing mengumpul tiga kad kuning dalam perlawanan sebelum ini.

Kehilangan tiga tonggak utama itu membuatkan penyokong The Rhinos mula menyuarakan kegusaran mereka untuk aksi getir bertemu JDT dan mencari-cari siapa pemain yang sesuai untuk menggantikan Peres, Telmo serta Ting.

Tidak dinafikan skuad depth Sabah tidak sebagus JDT namun masih ada beberapa pemain yang wajar menjadi taruhan Stano untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama menggantikan trio tersebut.

1) Irfan Fazail

AFIQ FAZAIL

Irfan dipercayai boleh melakukan tugas dengan baik selaku 'playmaker' menggantikan Telmo. — Facebook/SabahFC

Nama Irfan Fazail semakin kurang disebut dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan susulan pemain tengah itu semakin kurang mendapat minit permainan bersama Sabah FC sejak kehadiran pemain lain seperti Telmo Cantanheira dan Stuart Wilkin.

Meskipun kurang menjadi pilihan untuk kesebelasan utama namun bekas tonggak Harimau Selatan itu masih memberikan aksi bertenaga setiap kali khidmatnya diperlukan oleh Sang Badak.

Misalnya, ketika Irfan banyak menjadi pemain utama Sabah pada musim 2023, tonggak berusia 33 tahun berkenaan merekodkan tiga gol dan satu hantaran bantuan untuk Sang Badak.

Irfan dipercayai boleh melakukan tugas dengan baik selaku playmaker dengan kemahirannya dalam membuat hantaran pendek atau panjang untuk mengubah arah permainan, mencipta peluang serangan, atau mengawal tempo permainan.

2) Jafri Chew

JAFRI

Jafri Chew boleh beraksi sebagai bek kiri ataupun kanan. — Facebook/SabahFC

Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew merupakan pemain yang menyinar untuk Sabah dalam tempoh dua musim ini selepas dia memainkan peranannya sebagai penyerang simpanan dengan sangat baik.

Meskipun sering diturunkan dalam babak kedua, Jafri Chew tampil cemerlang membantu bahagian serangan Sabah apabila kini merekodkan empat gol dan satu bantuan jaringan dalam 17 perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Namun, kali ini enggan menceritakan mengenai peranannya sebagai penyerang susulan kudrat pemain berusia 27 tahun itu diperlukan untuk berkhidmat sebagai bek kiri menjelang aksi bertemu JDT bagi menggantikan Ting.

Sebelum terbang ke Sabah pada 2023, Jafri Chew banyak beraksi sebagai bek kanan atau kiri bersama Penang FC dan cubaan pertamanya memainkan posisi itu ketika bertemu JDT pada separuh akhir Piala FA 2022.

Pemain kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu pernah beraksi sebagai bek kanan sebanyak lapan kali bersama Penang. Adakah penyokong The Rhinos akan melihatnya lagi sebagai bek dalam aksi bertemu JDT pada Sabtu nanti?

3) Rawilson Batuil

RAWILSONNN

Rawilson antara bek tengah pilihan menggantikan Peres. — Facebook/SabahFC

Anak jati Kota Marudu, Sabah, Rawilson Batuil boleh menjadi taruhan utama Sabah untuk menggantikan posisi Peres sebagai pertahanan tengah menentang Harimau Selatan bagi aksi Liga Super di SSI.

Pemain yang mencipta debut buat pasukan Borneo itu pada 2014 boleh dianggap salah seorang pemain utama mereka meskipun kurang diberikan peluang beberapa musim kebelakangan ini.

Musim ini, Rawilson tampil dalam 15 perlawanan dengan 10 daripadanya pemain berusia 30 tahun itu beraksi sebagai kesebelasan utama.

Rawilson seorang bek yang tenang dalam mengendalikan asakan-asakan pihak lawan berikan. Bukan sahaja asakan, namun Rawilson juga tenang dalam mengawal bola dan mengatur serangan dari bahagian bawah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram