MUSIM belum berakhir namun Selangor FC telah kehilangan tonggak utama di bahagian pertahanan mereka iaitu Umarbek Eshmurodov selepas hampir 11 bulan memberi perkhidmatan untuk Gergasi Merah.
Gergasi Merah dalam kenyataan memaklumkan kelab berpangkalan di Lembah Klang itu secara rasmi melepaskan pemain kebangsaan Uzbekistan itu setelah kontraknya tamat pada bulan ini.
Pemain berusia 32 tahun itu beraksi dalam 18 perlawanan bersama Selangor termasuk saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25.
BACA LAGI: Perginya ‘kereta kebal’ Uzbek, tiba masa Khuzaimi Piee menyerlah dengan Selangor
BACA LAGI: Cemerlang di Bukit Jalil, ramai tak sangka gaji bintang Singapura pernah serendah pemain Piala MFL
Bukan hanya cemerlang membantu Selangor di benteng pertahanan, bek tengah itu juga berjaya menyumbang satu gol serta membantu satu jaringan sepanjang bersama Gergasi Merah.
Pemergian Umarbek jelas membuka satu peluang kepada Gergasi Merah untuk mencari pemain baharu bagi membantu pasukan berkenaan mengharungi musim mencabar pada musim baharu nanti.
Walaupun musim baharu akan berlangsung lama lagi, namun tidak salah jika Selangor memulakan misi pencarian pengganti Umarbek lebih awal dan sekal igus isu import 'scammer' tidak akan berlaku.
Dengan Piala AFF 2024 yang masih belum melabuhkan tirainya, adalah lebih baik jika Gergasi Merah cuba memantau beberapa bek berbakat dari rantau Asia Tenggara terutama dari kalangan empat kelab yang melangkah ke separuh akhir Piala AFF tahun ini.
Empat negara yang berhasil mara ke pusingan separuh akhir ialah Singapura, Vietnam, Filipina dan Thailand. Setiap empat negara itu, terdapat empat pemain pertahanan yang wajar menjadi buruan Gergasi Merah.
1) Saringkan Promsupa (Thailand)
Saringkan Promsupa merupakan bek tengah yang semakin mendapat nama di karier antarabangsa bersama Thailand sejak pemain itu diberikan peluang debut pada 14 November lepas di bawah kepercayaan Masatada Ishii.
Pemain berusia 27 tahun itu diturunkan ketika aksi persahabatan menentang Lubnan dengan Thailand berhasil tidak mempunyai masalah untuk merekodkan keputusan seri 0-0 menentang pasukan di ranking 112 berkenaan.
Meskipun ada suara-suara yang mengatakan Promsupa sekadar mengisi kehilangan bek tengah utama seperti Elias Dolah namun pemain berusia 27 tahun membuktikan kehadirannya mampu menjadi tonggak tetap Thailand.
Dalam lima perlawanan Piala AFF yang diharungi skuad Gajah Perang, pemain skuad Sukhothai FC itu diturunkan dalam tiga aksi menentang Timor Leste, Singapura dan Filipina di aksi separuh akhir pertama.
2) Kike Linares (Filipina)
Siapa yang masih mengikuti perkembangan Piala AFF 2024 pasti mengenali Kike Linares apabila pemain pertahanan itu muncul wira buat Filipina bagi membantu mereka menewaskan Thailand dengan keputusan 2-1.
Gol berharga Linares pada babak kecederaan di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina itu merupakan kemenangan pertama pasukan Filipina ke atas skuad Gajah Perang sejak tahun 1972.
Dalam kempen Piala AFF 2024 juga menyaksikan bek tengah campuran Filipina-Sepanyol itu diturunkan sebagai pemain utama untuk membantu skuad kendalian Albert Capellas mendapatkan trofi pertama untuk kejohanan itu.
Berketinggian 1.87 meter dan mempunyai badan yang sasa, pemain berusia 25 tahun itu pasti boleh membantu menjaga benteng pertahanan Gergasi Merah dengan baik lagi-lagi jika situasi perebutan bola di udara.
3) Amirul Adli (Singapura)
Tonggak Singapura, Amirul Adli sebenarnya beraksi di posisi bek kiri namun pemain Tampines Rovers itu juga sering menjadi pertahanan tengah jika diperlukan oleh taktikal jurulatih.
Misalnya, dalam saingan Piala AFF kali ini, pemain berusia 28 tahun itu diberikan kepercayaan oleh Tsutomu Ogura untuk memainkan peranan sebagai bek tengah dalam aksi menentang Timor Leste dan Thailand.
Jika Amirul berhijrah ke Selangor, ia akan menjadikan pengalaman pertama buatnya keluar dari Singapura kerana sebelum ini dia hanya beraksi bersama beberapa pasukan di negara kelahirannya itu.
Bukan itu sahaja, Amirul juga tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama Selangor susulan akan mendapat pertolongan dari rakan sepasukannya iaitu Safuwan Baharudin, yang kini merupakan kapten Selangor FC.
4) Tien Dung Bui (Vietnam)
Bek tengah, Tien Dung Bui sudah mewakili negaranya sejak 2014 apabila mewakili pasukan bawah 19 tahun Vietnam dan sejak itu, dia merupakan pemain yang sering mendapat tempat dalam skuad walaupun bersilih ganti jurulatih.
Pemain berusia 29 tahun itu juga juga berada dalam skuad Vietnam dalam Piala AFF 2018, yang menyaksikan mereka akhirnya menjulang trofi selepas mengalahkan Malaysia dengan agregat 3-2.
Sejarah 2018 itu nampaknya akan berulang lagi apabila pemain Viettel FC itu berhasil membantu Vietnam mendapatkan tiket ke final Piala AFF 2024 selepas menewaskan Singapura dnegan agregat 5-1.
Sekiranya Selangor berminat untuk mengambil khidmat Dung Bui, Gergasi Merah boleh menggunakan pengalamannya di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama Viettel di pentas Asia musim depan sekiranya layak mendapat tempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram