SAINGAN Liga Super kembali bersambung dengan aksi minggu ke-18 yang menyaksikan pertembungan menarik antara Kelantan Darul Naim dan Kedah Darul Aman (KDA FC).
Pertembungan antara pasukan Utara dan Pantai Timur itu akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat selepas mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Perubahan itu dilakukan memandangkan kerja-kerja penaiktarafan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan masih lagi giat dijalankan.
Meskipun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, KDA FC kini berada dalam momentum kurang baik apabila kehilangan tujuh pemain dalam sekelip mata.
Antara pemain yang sudah angkat kaki ialah Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos, Faiz Nasir, Habib Haroon, Sony Norde, Kalamullah Al Hafiz dan Fikri Che Soh.
Walaupun hilang tujuh pemain utama, Kedah masih mempunyai alasan untuk optimis dalam menghadapi skuad Sang Kijang Emas itu.
Oleh itu, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab utama mengapa Sang Kenari tidak akan tunduk di gelanggang sendiri.
Cleylton sah meninggalkan Sang Kenari selepas mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak. — Facebook/KDAFC
1. Rekod pertemuan
Kedah mempunyai rekod pertemuan yang baik dengan Kelantan, yang memberi mereka kelebihan secara psikologi.
Sejarah pertemuan kedua-dua pasukan menunjukkan KDA FC meraih keputusan positif dan berhasil mengatasi cabaran Kelantan.
Dengan rekod pertemuan yang memihak kepada pasukan Utara itu, sudah pasti akan memberikan keyakinan lebih kepada Sang Kenari bahawa mereka mampu menundukkan Kijang Emas meskipun kehilangan tonggak import.
Jika melihat kepada rekod pertembungan terakhir kedua-dua pasukan, KDA FC dilihat lebih memiliki peluang yang besar untuk meraih kemenangan.
Dalam saingan Liga Super, skuad Sang Kenari itu berjaya menewaskan Kijang Emas dengan keputusan 5-0 pada 19 Mei 2023, menang 6-1 pada 26 November 2023 dan sekali lagi meraih kemenangan 3-0 pada 12 Julai 2024.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, pastinya sokongan daripada peminat yang hadir akan memberi suntikan semangat kepada anak-anak buah Viktor Andrag itu.
Penyerang Sang Kenari, Milos Gordic (kanan). — Facebook/KDAFC
2. Milos Gordic semakin meyakinkan
Sebut sahaja nama Milos Gordic, ramai penyokong Sang Kenari pasti mengenali pemain kelahiran Serbia tersebut.
Setiap kali diberi kepercayaan beraksi di atas padang, penyerang berketinggian 1.87 meter itu sering menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sebagai penyudah.
Namun, kritikan yang diterima memberi perubahan positif, dengan Gordic kini semakin menunjukkan peningkatan dan menjadi aset penting buat Kedah.
Keupayaannya dalam mencipta peluang dan membantu serangan memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan, sekaligus dijangka mampu mencetak gol dalam aksi di Darul Aman nanti.
Sehingga kini, Gordic telah mencetak tiga gol dan satu hantaran bantuan selepas 20 perlawanan liga domestik bersama Sang Kenari.
Faiz Nasir (kanan) dijangka pulang ke pangkuan skuad Sang Penyu selepas kontraknya bersama Kedah berakhir. — Facebook/Terengganu FC
3. Jurang Kualiti
Sang Kenari mempunyai jurang kualiti yang jelas berbanding dengan Kelantan, terutamanya dalam aspek kemahiran individu, kecergasan fizikal, pengalaman taktikal dan keserasian pasukan.
Walaupun kehilangan beberapa pemain utama, Kedah masih mempunyai pemain-pemain berbakat yang mampu mengisi kekosongan tersebut dan beraksi dengan baik serta memanfaatkan kualiti yang ada untuk menghadapi pasukan lawan.
Kedah memiliki pasukan yang lebih mantap, berpengalaman, dan konsisten, sementara Kelantan masih berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada, menyebabkan mereka ketinggalan jauh dalam liga.
Untuk rekod, Kedah kini menghuni tangga kesembilan carta liga, berbeza pula dengan Kelantan yang kini menghuni tangga ke-12.
Jurang kualiti yang ketara antara kedua-dua pasukan memberikan kelebihan kepada Sang Kenari untuk terus mendominasi perlawanan nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram