Menang besar di Myanmar tapi fans pelik Akhyar tak dapat peluang buru hatrik


  • Podium
  • Khamis, 09 Jan 2025

Terengganu FC akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung dalam saingan Piala Shopee apabila membelasah Shan United 5-0 di laman lawan. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC akhirnya berjaya meraih kemenangan dalam saingan Kumpulan A Piala Shopee 2024 apabila membelasah Shan United 5-0 di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu.

Kedua-dua pasukan memburu tiga mata penuh dalam aksi ini kerana hanya kemenangan saja yang dapat menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Shopee.

Sang Penyu sebelum ini mencatatkan keputusan satu kali seri dan tewas sekali dalam dua aksi awal Kumpulan A.

BACA LAGI: Setanding dengan Ronaldo di ACLE, Persepolis sertai senarai 2 lagi kelab luar negara 'kejar' Arif Aiman

BACA LAGI: Raih 3 mata di Likas atas bantuan senior, fans The Rhinos cabar kualiti 'ubi muda'

Dalam aksi itu, pemain sayap TFC, Safawi Rasid membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-11 sebelum Manuel Ott menambah gol kedua 14 minit kemudian.

Tindakan pemain Shan United, Zwe Htet Min menjatuhkan Engku Nur Shakir Engku Yacob pada masa kecederaan babak pertama mengundang padah kerana bukan sahaja memberikan sepakan penalti kedua kepada TFC, malah dia turut dilayangkan kad merah.

WhatsApp Image 2025-01-09 at 15.33.54 (1)

Akhyar Rashid membantu Sang Penyu dengan mencetak dua gol aksi bertemu Shan United. — Facebook/TFC

Sepakan penalti itu kemudian disempurnakan Akhyar Rashid untuk skuad kendalian Badrul Afzan Razali selesa menutup separuh masa pertama dengan kelebihan tiga gol.

Memasuki babak kedua aksi di bumi Myanmar, TFC yang mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan seorang pemain terus menambah duka buat pasukan tuan rumah apabila mencetak dua lagi jaringan dalam tempoh tujuh minit menerusi penyudah Ott dan Akhyar pada minit ke-64 dan 71.

Kemenangan itu membolehkan TFC mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan, manakala Shan United kekal dengan rekod buruk tanpa sebarang mata.

Walaupun meraih kemenangan berharga, ada penyokong Sang Penyu yang tidak berpuas hati apabila pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dikeluarkan lebih awal, seolah-olah tidak diberi peluang untuk mencetak hatrik dalam aksi tersebut.

Mereka juga berpendapat penggantian itu tidak sepatutnya dilakukan kerana prestasi Hakim Hassan yang kurang menyerlah dalam aksi tersebut.

"Akhyar Rashid cari hatrik bawa keluar pula, bukan dia lawan JDT pun nanti nak bagi rehat, bagi masuk Hakim Hassan padan pusing atas padang," kata Zarraz Empayar Cameron.

"Buanglah Hakim Hassan itu, sudah tak releven main dengan TFC, Akhyar nak hatrik pun tak dapat," kata Amirul Daniel.

"Akhyar baru saja nak rasa hatrik sudah kena bawa keluar, yang ganti pun macam tak reti main," kata Ibrahim Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram