SEBELUM ini, kita sudah membincangkan mengenai isu kenaikan harga bulu tangkis terutamanya yang dibuat daripada angsa hingga membuatkan ibu bapa mengubah pilihan mereka.
Ibu bapa mengubah pilihan untuk mendapatkan bulu tangkis plastik yang harganya lebih murah berbanding bulu tangkis angsa.
Namun begitu, perbezaan antara bulu tangkis plastik dengan bulu tangkis yang dibuat daripada angsa atau itik tetap memainkan peranan terhadap pengalaman sewaktu bermain serta perkembangan seorang pemain badminton itu sendiri.
BACA LAGI: Tidak semurah disangka, harga bulu tangkis berkualiti di pasaran sebenarnya 'makan modal'
BACA LAGI: Bulu tangkis plastik tahan lama, tapi 'shuttlecock' pakai bulu angsa lebih 'feel', berkualiti
Bulu tangkis angsa lazimnya dipakai di majoriti kejohanan badminton.
Bulu tangkis memainkan peranan dalam menentukan perkembangan seseorang itu sebagai seorang pemain badminton. Hal ini kerana, jenis bahan digunakan mempengaruhi corak permainan pemain tersebut.
Menurut pemerhati badminton tempatan, Adam Zamri, tiada salahnya untuk melatih anak-anak bermain badminton menggunakan bulu tangkis plastik, tetapi kesannya akan nampak apabila mereka cuba memasuki tahap amatur, semi-pro atau profesional.
"Jika ibu bapa latih anak-anak bermain badminton menggunakan bulu tangkis plastik, bimbang apabila mereka dihantar ke pertandingan, mereka akan terkejut kerana pertandingan menggunakan bulu tangkis lazimnya daripada angsa.
"Kedua-duanya mempunyai perbezaan kerana bulu tangkis plastik lebih laju pergerakannya berbanding bulu tangkis angsa. Saya bimbang jika anak-anak yang terbiasa dengan bulu tangkis plastik menyertai pertandingan, mereka terkejut dengan kelajuan berbeza yang ada pada bulu tangkis angsa," katanya kepada Majoriti.
Namun begitu, Adam tidak menafikan bulu tangkis plastik dapat membantu ibu bapa mendapatkan pilihan yang lebih murah kerana bulu tangkis buatan angsa boleh mencecah RM100 setabung.
Tetapi, dia berkata bulu tangkis plastik hanya sesuai untuk digunakan untuk dimainkan secara santai atau rekreasi. Sekiranya seorang pemain itu mahu serius dalam badminton, dia perlu beralih kepada bulu tangkis itik atau angsa.
Bulu tangkis plastik lebih sesuai dimainkan secara rekreasi semata-mata.
"Bulu tangkis plastik ini memang sesuai untuk bermain secara santai saja. Kalau nak jadi pemain badminton sebenar, pemain perlu beralih kepada bulu tangkis itik atau angsa. Kalau tidak beralih, mereka tidak boleh menjadi pemain badminton walaupun di peringkat amatur.
"Benar bulu tangkis plastik lebih murah, tetapi kejohanan-kejohanan di luar sana terutamanya di negara kita akan menggunakan bulu tangkis angsa. Walaupun ada kejohanan yang mungkin cuba mengurangkan kos, mereka akan gunakan bulu tangkis yang dibuat daripada itik, tak akan guna daripada plastik," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram