[VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang


  • Podium
  • Ahad, 24 Nov 2024

Tze Chian dan pasangannya, Xiao Hui merekodkan kemenangan 21-16, 21-10 menewaskan duo dari UTAR.

NAMA Ng Tze Yong sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena badminton negara lagi-lagi selepas pemain perseorangan itu sudah meletakkan dirinya sebagai salah seorang bintang sedang meningkat naik.

Pemain perseorangan nombor dua tanah air itu sudah mengecapi pelbagai kejayaan seperti memenangi pingat gangsa kejohanan Piala Sudirman 2021, pingat emas berpasukan Asia 2022 dan meraih emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022.

Walaupun Tze Yong sudah mempunyai kerjaya cemerlang dalam sukan badminton namun ia tidak dapat mempengaruhi adik lelakinya iaitu Ng Tze Chian untuk mengikuti langkah sama.

BACA LAGI: Bulu tangkis plastik boleh 'bunuh' peluang pemain jadi bintang badminton

BACA LAGI: Bukan setakat Asia, Eropah kini semakin ramai bintang badminton

Tze Chian, 21, berkongsi bahawa dia gembira melihat abangnya mempunyai perjalanan yang menarik sebagai pemain badminton kebangsaan Malaysia namun pemain amatur itu lebih memilih untuk meletakkan sukan berkenaan sebagai nombor dua.

"Saya tidak terfikir mahu ikut langkah abang tetapi saya bangga dengan kejayaan yang Tze Yong kecapi. Untuk saya, badminton menjadi nombor dua dan pelajaran saya letakkan sebagai perkara utama.

"Saya rasa sedih sikit bila tengok karier dia ada naik turun dengan baru-baru ini dia alami kecederaa. Tapi sekarang dia sudah semakin pulih, saya harap dia boleh kembali naik," kata pelajar jurusan pemasaran di UCSI University itu kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-11-24 at 17.33.12

Ng Tze Chian ketika ditemui pada Piala Universiti Badminton Asics 2024 pada Ahad.

Tze Chian yang bermain badminton sejak berusia lima tahun berkat dorongan abang dan ayahnya itu berpengalaman beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) sehingga ke peringkat suku akhir dengan mewakili Johor.

Selain mewakili Johor, Tze Chian juga baru sahaja membantu UCSI memenangi acara berpasukan dalam Piala Universiti Badminton Asics 2024 dengan pemain muda itu beraksi untuk kategori beregu campuran.

Tze Chian dan pasangannya, Sik Xiao Hui merekodkan kemenangan 21-16, 21-10 menewaskan duo dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) iaitu Tan Ming Yue-Lim Xin Yi.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga dari 22 hingga 24 November 2024 di Pusat Sukan IOI, Putrajaya itu menyaksikan lebih 20 universiti awam dan swasta menyertainya bagi merebut hadiah utama berjumlah RM2,500.

WhatsApp Image 2024-11-24 at 15.34.42

Boon Tib (depan, dua dari kiri) bersama peserta Piala Universiti Badminton Asics 2024.

Menurut Pengurus Negara Asics Malaysia, Boon Tib Soon Nik, kejohanan itu menyediakan platform yang dinamik untuk menonjolkan bakat badminton dalam kalangan pelajar universiti.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan mereka mempunyai platform untuk menjadi membina kerjaya sebagai atlet di masa hadapan. Kami juga berharap ada dalam kalangan mereka menjadi pemenang pingat emas Sukan Olimpik untuk negara pada suatu hari nanti.

"Kejohanan ini juga membantu pelajar mengimbangi kehidupan. Saya juga fikir sukan adalah penting untuk setiap individu untuk bergerak dengan lebih bertenaga dan lebih pantas," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram