Identiti terjawab, Rob Friend bekas bintang LA Galaxy dilantik CEO pertama FAM


  • Podium
  • Selasa, 31 Dis 2024

Rob Friend sebelum ini memiliki kelab Kanada iaitu Vancouver FC. — Agensi

ROB Friend dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, sekali gus menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Pelantikan itu diumumkan menerusi satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa sekali gus menamatkan teka-teki siapakah yang bakal mengisi jawatan tersebut.

Friend yang berasal dari Kanada itu pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka sepanjang kariernya antaranya Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin serta LA Galaxy di Amerika Syarikat.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya

Bekas penyerang antarabangsa Kanada itu kemudiannya menceburkan diri dalam bidang pengurusan bola sepak selepas bersara dengan dia menjadi sebahagian daripada pengasas Canadian Premier League (CPL) pada 2019.

Malah, dia turut menjadi pengasas bersama bagi kelab Kanada iaitu Pacific FC yang merupakan pasukan bagi bekas pemain Terengganu FC, Issey Nakajima-Farran pada tempoh serupa sebelum menubuhkan Vancouver FC pada 2022.

Friend turut aktif dalam pengurusan bola sepak yang bersifat luar padang. Tugasnya lebih tertumpu kepada urusan pentadbiran dan pembangunan strategik dan korporat sesebuah kelab.

"Beliau banyak terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab, termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, termasuk pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.

"Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini," kata FAM.

Friend akan memulakan tugasnya di FAM bermula pada Januari dan dia akan bersama-sama Peter Cklamovski serta Nafuzi Zain memacu revolusi Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram