MUSIM baharu Jelajah Dunia BWF bermula pada Selasa dengan Terbuka Malaysia membuka tirai sebagai kejohanan sulung bagi tahun ini.
Diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, kejohanan tahap Super 1000 itu membolehkan rakyat Malaysia melihat bintang kesayangan mereka beraksi dan berkemungkinan, menjulang kejuaraan dari jarak dekat.
Pemain-pemain seperti Leong Jun Hao, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin serta pasangan Pearly Tan-M. Thinaah pastinya menjadi tumpuan peminat Malaysia yang hadir.
BACA LAGI: Lepas Terbuka Malaysia, Zii Jia sah tarik diri kejohanan di India, Indonesia
Penyokong mula membanjiri Axiata Arena apabila pertandingan memasuki sesi petang.
Kemeriahan di Axiata Arena kelihatan baik dengan ramai hadir untuk memberikan sokongan walaupun hari pertama kejohanan diadakan pada hari bekerja.
Walaupun kemeriahan itu dirasai, namun masih ada yang kelihatan kurang. Ia berkemungkinan kerana ketiadaan pemain sensasi negara iaitu Lee Zii Jia.
Bagi pemerhati badminton negara, Meor Abdullah Syamim, dia melihat kehadiran di Axiata Arena cukup baik pada hari pertama Terbuka Malaysia namun berasakan sedikit kekurangan.
"Kehadiran hari ini dilihat ramai dan meriah seperti biasa. Namun saya rasa jumlah itu akan lebih bertambah jika Lee Zii Jia ada turun beraksi.
"Kita semua tahu yang dia menjadi pemain pujaan ramai, jadi seandainya dia menyertai Terbuka Malaysia, sudah pasti kehadiran akan lebih tinggi dicatatkan," kata Syamim kepada Majoriti.
Zii Jia tidak menyertai Terbuka Malaysia kerana mengalami kecederaan di ligamen buku lali kanannya semasa beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada Disember lalu.
Walaupun tanpa Zii Jia, Syamim berasakan masa inilah para pemain lain untuk mencuri tumpuan sekali gus menjulang nama Malaysia di laman sendiri.
"Benar sekali, kalau ada Zii Jia, kita ada seorang lagi wakil yang berpotensi untuk juara. Namun begitu, dia tidak dapat beraksi jadi kita cuma boleh harap dia akan cepat sembuh dari kecederaannya.
"Masa ini, bintang-bintang lain terutamanya wakil perseorangan lelaki seperti Leong Jun Hao boleh ambil kesempatan untuk menyerlah dan buktikan kemampuan di hadapan penyokong kita," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram