Bumbung bocor, aksi Terbuka Malaysia tertangguh seketika


  • Podium
  • Selasa, 07 Jan 2025

Pembantu stadium cuba menutup bahagian gelanggang yang terkesan air bocor dari bumbung Axiata Arena.

AKSI hari pertama Terbuka Malaysia pada Selasa terganggu selepas berlakunya bumbung bocor semasa acara sebelah petang.

Kejadian itu berlaku mengakibatkan aksi di gelanggang 2 melibatkan wakil Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dengan pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian terganggu.

Selain itu, pertarungan antara pemain Kanada, Brian Yang dan wakil India, Prannoy Haseena Sunil di gelanggang 3, Axiata Arena, Bukit Jalil turut terganggu.

BACA LAGI: Terbuka Malaysia bermula meriah walaupun kurang seri tanpa kehadiran Lee Zii Jia

BACA LAGI: Terbuka Malaysia: Cemerlang di set kedua tak cukup, Jun Hao terpaksa pulang awal

Akan tetapi, aksi melibatkan pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin menentang wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard di gelanggang 1 masih dijalankan seperti biasa.

Bumbung yang bocor itu dipercayai disebabkan oleh air hujan yang turun membasahi Axiata Arena pada sebelah petang hari pertama kejohanan tersebut.

Bumbung bocor itu menyebabkan air turun dan kena kepada gelanggang. Ia memaksa pegawai stadium menutupi ruang gelanggang yang terkena air bocor itu dengan pelindung.

Kejadian tersebut mendapat reaksi daripada penyokong dengan ada yang berasa malu dengan perkara tersebut.

"Memalukan nama Malaysia, sudahlah acara Super 1000. Sebelum ini masa Malaysia Masters karpet gelanggang terkoyak sikit pun satu dunia bercakap. Ni bocor pula, aduh malukan nama Malaysia," kata penyokong bernama Siti Nazurah.

"Aduhai baru hari pertama dah ada yang tunda, tangguh lagi la permainan nampak gaya," komen Eh Cipa pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram