Bila TMJ buka cerita bintang warisan, fenomena 3 pemain dakwa berdarah Malaysia buat fans terkenang semula


  • Podium
  • Ahad, 29 Dis 2024

De Paula bermain di Malaysia selama lima tahun untuk menyarung jersi Harimau Malaya. — FAM

LAMBAKAN pemain warisan atau berdarah kacukan ternyata memberikan nilai tambah buat skuad kebangsaan apabila dilihat dengan prestasi semasa Harimau Malaya.

Kehadiran pemain warisan seperti Dion Cools, Brendan Gan, Corbin Ong, Matthew Davies, Stuart Wilkin dan ramai lagi ternyata memberikan impak segera buat skuad kebangsaan.

Kejayaan yang dirasai pemain warisan bersama Harimau Malaya turut pernah dicemburui oleh pemain naturalisasi kebangsaan sebelum sah bergelar rakyat Malaysia pada 2022.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi Harimau Malaya, 3 pemain import baharu musim 2024/25 Liga M wajar kekal jadi prospek jangka panjang

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Bergson da Silva, 4 pemain lulus peraturan FIFA boleh bantu Peter Cklamovski perkuat Harimau Malaya tahun depan

Namun apabila melihat pendedahan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tentang pemain warisan yang digembar-gemburkan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, ia sedikit sebanyak mengingatkan penyokong mengenai beberapa pemain yang kononnya berdarah Malaysia namun sebenarnya tidak.

Jika diimbau kembali, pernah timbul kisah beberapa pemain luar negara yang memberi harapan buat penyokong bola sepak tempatan apabila dikaitkan berdarah Malaysia meskipun sebenarnya tiada susur-galur dari negara ini.

Dalam kerancakan kehadiran pemain-pemain warisan ke dalam Liga Malaysia mahupun skuad kebangsaan, Majoriti senaraikan tiga pemain ini pernah membuat penyokong Harimau Malaya kecewa.

1. Bruno Nazario (Brazil)

Hancur hati seluruh penyokong bola sepak Malaysia apabila Bruno Nazario menafikan dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Bekas pemain tengah Botafogo FC, Bruno Nazario tidak terkecuali daripada tergolong dalam senarai pemain-pemain elit yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi skuad negara selepas dia dikatakan mempunyai pertalian darah Malaysia.

Pada 2020, Bruno menafikan status hubungannya dengan Malaysia dalam satu temu bual bersama Botafogo TV. Ketika ditanya sama ada dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, Bruno tidak dapat memberikan jawapan jelas mengenai perkara itu.

Keluarga serta kenalan rapat Bruno turut menafikan sama sekali bahawa pemain berusia 29 tahun itu mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Pemain tengah ini pernah beraksi bersama TSG Hoffenheim di Jerman dan beberapa kelab ternama di Brazil seperti Cruzeiro, Athletico-PR, Botafogo dan lain-lain lagi.

Kini Bruno beraksi di Liga China bersama Henan FC dan menjadi antara pemain yang mencatatkan 'assister' tertinggi dalam kejohanan domestik negara itu.

Jika Bruno Nazario mahu beraksi bersama Malaysia, maka dia perlu melalui proses seperti Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi iaitu dengan bermain di Malaysia selama lima tahun bagi mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi.

1938466

Verthomy Boboy (kanan) pernah menyertai skuad remaja Schalke 04. Agensi

2. Verthomy Schilo Boboy (Jerman)

Pemain berketinggian 1.90 meter, Verthomy Boboy pernah dikaitkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya apabila ada dakwaan menyatakan dia mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Menurut Football Agent - Malaysia di Facebook pada 2020, Verthomy Boboy ialah pemain berdarah kacukan yang sedang beraksi di liga remaja Jerman.

"Verthomy Boboy merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman yang beraksi bersama VFL Bochum dalam saingan 'Bundesliga West U17," katanya.

Namun @MarcoNegeri di Twitter menjelaskan situasi sebenar pemain tersebut dengan menyatakan dia sudah memeriksa latar belakang Verthomy Boboy dengan negara ini.

"Selepas mendapat pelbagai pertanyaan dan menyemak dengan kelabnya di Jerman, saya boleh mengesahkan bahawa Verthomy Schilo Boboy tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia tetapi berketurunan Jerman dari Congo," ujarnya.

Verthomy Boboy ialah seorang pertahanan muda yang berpotensi tinggi untuk menjadi pemain berkaliber.

Pemain berusia 21 tahun itu, pada musim ini menyertai Standard de Liege 16 FC yang beraksi di divisyen ketiga Liga Belgium.

Sebelum ini Verthomy Boboy beraksi bersama skuad remaja SC Fortuna Köln dan VfL Bochum sebelum dilepaskan Schalke 04.

3. Marcel Kalonda (Congo)

Marcel Kalonda mula menjadi perbualan penyokong tanah air selepas diletakkan sebagai pemain dari Malaysia dalam permainan Football Manager 2020.

Pemain berusia 26 tahun yang dikaitkan mempunyai darah keturunan Malaysia pernah berada di bawah radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kalonda pernah mengesahkan bahawa datuknya berasal dari Sabah dan pernah berkunjung ke sana ketika kecil.

FAM turut pernah menerima dokumen seperti sijil kelahiran, sijil perkahwinan ibu bapa dan pasport milik pemain berusia 26 tahun itu.

Namun, FAM telah mengesahkan pihaknya tidak akan memproses permohonan Kalonda yang kononnya berdarah kacukan Malaysia menerusi bapa dan datuknya untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

Keputusan itu dibuat selepas semakan dan siasatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapatkan satu daripada dokumen yang telah dihantar oleh pemain kelahiran Repulik Congo itu didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

FAM turut memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

Kini pemain berketinggian 1.88 meter itu masih beraksi di Liga Zambia dengan mewakili Kansanshi FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram