PERSATUAN SEPAK BOLA INDONESIA (PSSI) telah membuat keputusan drastik apabila mengumumkan perpisahan dengan jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong pada Ahad (6 Januari) selepas pengendali berusia 55 tahun itu berjaya membawa skuad nasional Indonesia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Penamatan kontrak Tae-yong itu dipercayai berpunca daripada kekalahan 1-2 kepada China pada aksi keempat pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 15 Oktober 2024.
Sebaik sahaja PSSI mengumumkan perpisahan dengan jurulatih Korea Selatan itu, wartawan terkenal, Fabrizio Romano pula mengesahkan Indonesia telahpun menandatangani kontrak bersama bekas jurulatih dan legenda Belanda, Patrick Kluivert selama dua tahun.
BACA LAGI: 'Tak rasa berdosa ke?', isteri pemain dakwa Kedah masih belum bayar tunggakan gaji 9 bulan
Pelbagai teori telah dimainkan oleh penyokong Indonesia berkenaan pelantikan Kluivert itu dengan ada di antaranya ialah untuk menarik lebih ramai pemain-pemain warisan berdarah Belanda untuk beraksi bersama Sang Garuda.
Teori lain pula mengatakan masalah komunikasi dalam bilik persalinan antara Tae-yong dan pemain warisan Belanda-Indonesia menjadi punca utama PSSI membawa masuk Kluveirt untuk mengatasi isu tersebut.
Pemecatan Tae-yong juga bakal memberi peluang buat pemain-pemain utama Indonesia untuk kembali ke pangkuan Sang Garuda selepas tersisih daripada pemilihan bekas jurulatih Korea Selatan itu.
Majoriti senaraikan tiga pemain mungkin mendapat peluang kembali ke skuad kebangsaan Indonesia selepas menjadi 'anak tiri' Tae-yong.
1. Saddil Ramdani
Pemain kelahiran Raha, Indonesia, Saddil Ramdani pastinya bakal menjadi tumpuan Kluivert untuk menilai semula prestasinya bersama Sabah FC sejak 2021.
Rekod 80 penampilan serta 20 jaringan dan 28 'assist' tidak boleh dipandang 'enteng' oleh Kluivert untuk memperkuatkan pasukan menjelang pertemuan menentang Australia pada 20 Mac nanti.
Sebelum ini, Tae-yong menyingkirkan Saddil kerana tidak sesuai dengan taktikal selepas dinilai oleh barisan kejurulatihan termasuk aspek teknikal dan strategi permainan.
Selain itu, persaingan yang sengit di posisi sayap juga menjadi faktor selepasa Tae-yong lelbih memilih pemain lain seperti Witan Sulaeman dan Egy Maulana Vikri.
2. Elkan Baggott
Antara pemain terawal menyertai revolusi bintang warisan Indonesia, Elkan Baggott terus tersisih oleh Tae-yong untuk menyertai skuad Indonesia dalam beberapa perlawanan terakhir.
Keputusan itu sepenuhnya berada di bawah budi bicara jurulatih dan PSSI menegaskan bahawa mereka tidak campur tangan dalam pemilihan pemain.
Terdapat spekulasi mengenai hubungan antara Tae-yong dan Baggott, terutamanya selepas pemain berusia 23 tahun itu tidak hadir dalam panggilan untuk perlawanan kelayakan Olimpik Paris 2024 menentang Guinea.
Faktor kecederaan juga mempengaruhi ketiadaan Baggott dalam skuad selepas pemain Blackpool itu mengalami kecederaan buku lali yang serius semasa bersama kelabnya menyebabkan dia terpaksa berehat panjang.
3. Marc Klok
Kali terakhir pemain naturaliasi Indonesia, Marc Klok dipanggil oleh Tae-yong ialah pada 21 Mac tahun lalu ketika menentang Vietnam di perlawanan pertama pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Tindakan Tae-yong yang mensisihkan Klok itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak Indonesia meskipun pemain berusia 32 tahun itu cemerlang di kejohanan domestik.
Menurut laporan media Indonesia, Klok telah menghubungi Tae-yong untuk membincangkan situasi ini dengan menyatakan keinginannya untuk kembali menyarung jersi Indonesia dan berharap dapat beraksi dalam perlawanan akan datang.
Namun begitu, Tae-yong tetap memilih untuk mengenepikan Klok dan membawa pemain warisan lain yang berkelana di Eropah.
Dalam satu kenyataan, Klok meluahkan rasa sedihnya kerana tidak terpilih, terutamanya selepas membantu Persib Bandung meraih kejuaraan Liga Indonesia pada musim 2023/2024.
Pemain kelahiran Belanda itu merasakan prestasinya sepatutnya melayakkan dirinya untuk dipertimbangkan dalam skuad nasional Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram