[VIDEO] Disifatkan 'syurga makanan', Ipoh pintas Osaka, Jepun, muncul destinasi terbaik Asia untuk dilawati pada 2025


  • Hobi
  • Selasa, 31 Dis 2024

Tasik cermin di Ipoh merupakan antara 'port' tumpuan pengunjung yang datang ke negeri itu.

IPOH yang terletak di Perak mencatatkan pencapaian membanggakan apabila diiktiraf sebagai salah satu destinasi terbaik Asia untuk dilawati pada tahun 2025 oleh majalah gaya hidup terkenal, Time Out.

Dalam senarai tersebut, Ipoh, Perak berjaya meraih tempat kelima mengatasi bandar popular Osaka, Jepun.

Senarai tersebut menampilkan destinasi yang kaya dengan budaya, keindahan semula jadi dan pengalaman unik.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: Perlu segera transformasi skuad, Gergasi Merah wajar pertimbang bawa balik 2 anak jati, ‘new’ Arif Aiman

Tempat pertama dipegang oleh pulau Sumba di Indonesia, diikuti tempat kedua pula diperoleh Siargao, Filipina.

Tempat ketiga dipegang oleh sebuah bandar pantai di Vietnam iaitu Danang, manakala Tainan di Taiwan berada di tempat keempat.

Selepas Ipoh, senarai itu diteruskan dengan Osaka, Jepun; Nan, Thailand; dan Lijiang, China.

Ipoh disifatkan sebagai syurga makanan dengan hidangan ikonik seperti ayam tauge, nasi ayam, dan kopi putihnya.

Terletak hanya dua jam perjalanan dengan kereta api dari Kuala Lumpur, bandar itu menawarkan keseimbangan menarik antara warisan sejarah dan daya tarikan moden.

Daya tarikan utama Ipoh termasuk seni bina kolonial, kedai-kedai lama yang klasik serta tebing batu kapur yang dihiasi kuil gua.

Selain tarikan tradisional, Ipoh turut memikat pencinta kopi dengan budaya kopinya yang moden.

Walaupun kopi putih Ipoh kekal sebagai pilihan utama di kedai kopi klasik, bandar itu juga telah menerima gelombang baharu budaya kopi dengan kafe-kafe kontemporari yang menawarkan pengalaman unik.

Gabungan pesona tradisional dan elemen moden menjadikan Ipoh sebagai destinasi yang unik dan wajib dikunjungi.

Sama ada mencuba makanan tempatan, mengunjungi tempat bersejarah atau bersantai dengan secawan kopi, Ipoh menjanjikan pengalaman yang penuh kenangan buat setiap pengunjung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram