Dulu cukup ligat atas padang, kini 3 bekas bintang TBG termasuk Nazirul Naim dianggap taikun bisnes di Ipoh lepas 'gantung but'


  • Podium
  • Rabu, 01 Jan 2025

Nazirul Naim (tiga dari kiri) antara yang memilih untuk menceburi dunia perniagaan. — Facebook/Perak FC

CABARAN bagi seorang pemain bola sepak untuk menentukan hala tuju masing-masing selepas menamatkan karier kerana sebahagian besar daripada mereka tidak memiliki kepakaran lain berbanding sukan tersebut.

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata daripada mereka cenderung untuk terus berada dalam bidang tersebut, sama ada sebagai seorang ketua jurulatih mahupun berada dalam badan pengurusan sesebuah kelab.

Namun, ada juga yang mengambil inisiatif tersendiri supaya segera melupakan kecintaan terhadap sukan itu dengan meneroka pilihan lain seperti menceburi dunia perniagaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Trent kagum 'free kick' bintang JDT, terkejut ada sepupu Mac Allister di Perak

BACA LAGI: [VIDEO] Kurang diberi kredit, 3 sebab kenapa fans Perak perlu hargai YCL

Pendekatan tersebut sememangnya diambil tiga bekas pemain Perak iaitu Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan serta Hafiz Ramdan yang mengambil haluan terbabit selepas menggantung but masing-masing.

Meskipun sudah membuka perniagaan di Ipoh, Perak beberapa tahun lalu, keputusan menceburi bidang tersebut sekali lagi menerima perhatian selepas sebuah laman Facebook, Oh My Perak memuat naik perkara itu pada Rabu.

Dalam perkongsian berkenaan, pengguna media sosial berkenaan menceritakan bagaimana Amirul Azhan memperkenalkan jenama The Makcik.co yang menjual nasi lemak berserta lauk-pauk serta pencuci mulut.

Nazirul yang merupakan bekas bek kiri negara pula memilih untuk menjual Coffee Street 21 dengan pelbagai jenis minuman disediakan, termasuk produk kopi yang kian menerima perhatian hari ini.

"Kopi Areng dan Smash Green Tea wajib anda cuba. Jelly Ball, aiskrim Malaysia, Soft Cookies dan Megi Tumis turut dijual," tulisnya.

perak_malaysia_cup_2810_2

Nazirul Naim dan Amriul Azhan berada dalam skuad TBG yang menjuarai Piala Malaysia 2018.

Sementara itu, Hafiz yang sememangnya anak jati Batu Kurau, Perak kini merupakan pengasas jenama Pattyloka dengan beberapa jenis makanan dijual seperti burger dan oblong.

Melihat kepada sambutan yang dikongsikan, penduduk di negeri Utara tanah air itu, terutamanya dalam kalangan penyokong Perak FC kerap berbelanja kerana setiap produk ditawarkan memiliki tarikan berbeza.

Malah, ada juga yang sanggup hadir tanpa mengira jarak jauh kerana masing-masing mahu menghargai sumbangan mereka sepanjang beraksi buat kelab tersebut, terutamanya kepada Nazirul dan Amirul Azhan yang menjulang Piala Malaysia 2018.

Inisiatif diambil ketiga-tiga bekas tonggak The Bos Gaurus (TBG) itu sememangnya wajar disokong orang ramai kerana ia membuktikan kesungguhan untuk menampung keluarga dengan kudrat sendiri.

Keputusan menceburi dunia perniagaan juga wajar dicontohi pemain Liga Super yang lain, lebih-lebih lagi dengan kewangan hampir kesemua kelab yang tidak menentu dalam lima tahun kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram