Kedah makin suram, 2 import sepakat tinggalkan kelab, Faiz Nasir pulang ke pangkuan TFC


  • Podium
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Kedah melepaskan tiga pemain yang memilih untuk menamatkan kontrak bersama kelab itu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC mengumumkan pemergian tiga pemain mereka dalam sebuah pengumuman pada Jumaat.

Dua pemain import, Sukhrob Nurulloev dan Cleylton Santos dilepaskan selepas bersetuju untuk menamatkan kontrak mereka. Sementara seorang lagi pemain iaitu Faiz Nasir sudah tamat tempoh pinjamannya dan akan kembali ke kelab asal iaitu Terengganu FC.

Keputusan itu nyata mengejutkan sekali gus memberikan petanda keadaan semakin tidak baik di kelab itu yang sedang berdepan krisis kewangan.

BACA LAGI: Apex optimis The Rhinos masih ‘dijaga’ orang tepat di sebalik pemergian Ong Kim Swee

BACA LAGI: [VIDEO] Ong Kim Swee beri jaminan bawa import baharu, Fernando Forestieri jadi sasaran Persis Solo?

"Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah, dan pengurusan Kedah Darul Aman FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang mereka bersama pasukan Sang Kenari.

"Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi.

"Sukhrob dan Cleylton telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia. Manakala untuk Faiz Nasir pula telah tamat tempoh pinjaman, akan tetapi beliau telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan," kata Kedah dalam kenyataan mereka.

Dengan jendela perpindahan Liga Super musim ini sudah pun berakhir, Kedah cuma perlu mengharapkan kudrat pemain sedia ada untuk mengharungi baki saingan musim 2024/2025.

Ia turut memberi gambaran kepada penyokong yang tiada perkembangan positif mengenai situasi kelab itu sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram