Kecederaan tak sempat pulih, Lee Zii Jia terpaksa lupakan Terbuka Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Lee Zii Jia terpaksa melupakan hasrat beraksi di Terbuka Malaysia. — Agensi

HASRAT untuk menyaksikan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia beraksi di Terbuka Malaysia terpaksa dilupakan selepas pemain itu menarik diri daripada kejohanan tersebut.

Dalam kenyataan dikeluarkan oleh TeamLZJ pada Jumaat, Zii Jia terpaksa menarik diri akibat mengalami kecederaan ligamen pada buku lalinya.

Kecederaan tersebut berlaku sewaktu Zii Jia beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada Disember lalu semasa berdepan pemain China, Li Shi Feng.

BACA LAGI: Zii Jia berpotensi bertemu Shi Yuqi di suku akhir Terbuka Malaysia

BACA LAGI: Bekas pemain antarabangsa Kay Bin sah jadi jurulatih baharu Zii Jia

"Dengan berat hati, kami mengumumkan Lee Zii Jia tidak dapat beraksi di kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia BWF 2025 di laman sendiri iaitu Terbuka Malaysia.

"Zii Jia tidak sempat pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lali kaki kanannya semasa Jelajah Dunia Akhir pada Disember 2024.

"Penyertaannya dalam kejohanan Terbuka India dan Indonesia Masters yang dijadualkan pada Januari 2025 juga dalam pertimbangan, bergantung kepada pemulihan penuh kecederaannya," kata TeamLZJ dalam satu kenyataan.

Keputusan itu nyata mengecewakan ramai peminat yang ingin menyaksikan penampilan kelima pemain itu di Terbuka Malaysia terutamanya selepas menghasilkan persembahan baik di Jelajah Dunia Akhir.

Namun begitu, demi tidak mengambil risiko, lebih baik Zii Jia berehat dahulu sebelum kembali beraksi di gelanggang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram