[VIDEO] Sumali berang sikap acuh tak acuh Thailand menjelang kempen Piala Asia Takraw


  • Podium
  • Khamis, 02 Jan 2025

Kehadiran Thailand dalam Piala Asia Takraw sudah tentu akan menarik lebih ramai penonton ke Stadium Titiwangsa, KL.

PENGERUSI Jawatankuasa Induk Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, Datuk Mohd Sumali Reduan berang dan kecewa dengan sikap acuh tak acuh Thailand yang gagal menepati tempoh masa ditetapkan bagi penyertaan Piala Asia.

Menurut laporan Stadium Astro, beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan tiada negara berhak diberi layanan istimewa dan jangan sesekali jadikan sepak takraw sebagai sukan bertaraf kampung.

"Mereka berdiam diri sehinggalah penutup. Persoalannya, siapa Thailand sementara kenapa 15, 16 negara peserta lain boleh respons? Tidak mungkin mereka satu negara yang diberi keistimewaan, mana boleh begitu," katanya seperti mana dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

BACA LAGI: Belanjawan 2025: Kejayaan Piala Dunia buka mata, arena takraw jadi kepentingan KBS

BACA LAGI: Khidmat masih diperlukan, misi besar menanti pengendali skuad sepak takraw negara

Jelas Sumali, Thailand berdiam diri sehingga tarikh akhir pengesahan penyertaan, iaitu pada pukul 5 petang Selasa seolah-olah memberi isyarat mereka tidak berminat untuk menyertai kejohanan yang julung kalinya dianjurkan itu.

Pertandingan yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu akan mengumpulkan negara dari sekitar Asia dengan setakat ini, sebanyak 13 pasukan sudah mengesahkan penyertaan.

Bagaimanapun, menurut Sumali, Persatuan Sepak Takraw Thailand boleh mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) jika masih berhasrat untuk menyertai kejohanan yang dijadualkan bermula 9 hingga 18 Mei depan itu.

Kehadiran Thailand sememangnya diharapkan kerana pada penganjuran Piala Dunia Takraw tahun lalu, mereka memberikan saingan sengit, namun terpaksa akur dengan keunggulan pasukan negara yang merupakan tuan rumah.

Dalam saingan Piala Asia ini, sebanyak empat acara bakal dipertandingkan iaitu regu, beregu, quadran dan berpasukan dengan kebanyakan penyertaan hadir daripada pasukan yang beraksi di divisyen premier ketika Piala Dunia ISTAF, Mei lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram