Belanjawan 2025: Kejayaan Piala Dunia buka mata, arena takraw jadi kepentingan KBS


  • Podium
  • Khamis, 17 Okt 2024

Kuala Lumpur Thunder tidak berdepan masalah untuk bergelar juara Liga Sepak Takraw 2024 bagi tiga GP yang sudah berlangsung baru-baru ini.

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2025, sudah pasti ramai pihak tidak sabar untuk menantikan berita gembira yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Bagi pencinta sukan tanah air, bajet untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pastinya dinantikan setiap tahun, terutama selepas kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai oleh wakil negara.

Selain bola sepak, sepak takraw kini turut mencuri tumpuan peminat tanah air selepas kejayaan meraih gelaran juara dalam pasukan regu dan double pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei lalu, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Tekong Siam dikata punca Kelantan Warriors balik awal, kelibat Purached mula dirindui

BACA LAGI: [VIDEO] 'King servis bola drop is back', kehadiran Hairul Hazizi ubah rentak permainan Johor Tigris di GP Penang

Piala Dunia

Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara regu dan double selepas mencatatkan kemenangan 2-0 bagi kedua-dua acara di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — Facebook/PSM

Belanjawan 2025 dilihat dapat memberikan nafas baharu kepada pembangunan sukan sepak takraw di negara ini untuk lebih banyak mencipta nama apatah lagi Malaysia diberi kepercayaan untuk mengalas tanggungjawab mengadakan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang bakal diperkenalkan buat julung kalinya.

Begitu pun, perkara tersebut sepertinya belum cukup membuka mata KBS untuk menyedari potensi sepak takraw di peringkat domestik dan antarabangsa.

Harapan sudah pasti diletakkan di bahu KBS menjelang Belanjawan 2025 dengan jumlah suntikan dana kepada mereka belum diketahui setakat ini.

Berdasarkan Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM72 juta kepada KBS bagi menambah baik dan memperkukuh ekosistem atlet acara podium.

Jadi, Majoriti menyenaraikan tiga sebab sukan sepak takraw boleh diketengahkan KBS menjelang Belanjawan 2025 dengan ia wajar diberikan perhatian lebih mendalam.

Double

Sebahagian aksi menarik antara pemain Malaysia (jersi biru) ketika berdepan cabaran Jepun. — Facebook/WarisanTakraw.my

1. Kemeriahan sepak takraw

Kemeriahan sukan sepak takraw di Malaysia semakin dirasai sepanjang sedekad penganjuran Liga Sepak Takraw (STL), yang telah menjadi platform penting untuk mengangkat sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Penganjuran liga yang berterusan menunjukkan bahawa sukan sepak takraw semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Dengan adanya kemeriahan ini, Belanjawan 2025 harus melihat kepada kepentingan untuk terus menyokong dan memperkukuh pembangunan sukan ini, terutamanya dalam aspek kewangan dan infrastruktur.

Dana yang mencukupi perlu diperuntukkan bagi memastikan kelancaran liga, pembangunan fasiliti sukan, dan pengukuhan program pengembangan bakat, termasuk eksport pemain ke luar negara.

Dengan sokongan kewangan yang kukuh, sepak takraw dapat terus berkembang dan meningkatkan popularitinya, membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di pentas antarabangsa.

Piala Dunia..

Aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan akhir beregu yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

2. Penganjuran Piala Asia 2025

Selepas berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan cemerlang pada 16 hingga 26 Mei lalu, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan ditawarkan untuk menganjurkan Piala Asia 2025.

Menurut Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi ASTAF di Bangkok Jun lalu sebulat suara bersetuju untuk melantik Malaysia selaku tuan rumah Piala Asia 2025 bersandarkan kepada 10 asas kukuh dan praktikal.

Dengan penerimaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengenai tawaran tersebut, sudah pasti terdapat beberapa faktor yang perlu diperhalusi, terutamanya berkaitan dengan dana untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, dana yang besar amat diperlukan bagi memastikan kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Takraw

Pasukan sepak takraw negara muncul juara bagi acara double Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

3. Eksport pemain

Eksport pemain ke luar negara adalah langkah penting dalam pembangunan sukan, termasuklah sepak takraw kerana para pemain boleh mempelajari teknik yang baharu, contohnya, posisi tekong berpeluang untuk belajar servis lain.

Pemain yang berpeluang beraksi di luar negara berpeluang untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal, serta mempersiapkan diri untuk bersaing di peringkat antarabangsa yang lebih kompetitif.

Eksport pemain ke luar negara bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain itu sendiri, tetapi juga kepada pembangunan sukan secara keseluruhan di Malaysia yang merupakan strategi jangka panjang untuk meningkatkan daya saing

Selain itu, dengan kehebatan dan kekuatan pemain tanah air, KBS boleh ambil peluang untuk menghantar beberapa pemain terpilih yang terdiri daripada tekong, perejam dan pengumpan untuk memberi tunjuk ajar kepada negara yang kini sedang berjinak-jinak dengan takraw.

Antara negara yang boleh diketengahkan adalah dua negara Eropah adalah Perancis dan Jerman serta tujuh negara Asia, Bangladesh, Taiwan, Iran, Nepal, Pakistan, Arab Saudi dan Sri Lanka.

Ini kerana negara-negara yang disenaraikan pernah bersaing dalam Piala Dunia 2024 sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram