
DARI Divisyen Satu ke Liga Premier dan berhasil mencuri slot ke Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2024, Selangor Pistons antara pasukan underdog yang paling mencuri tumpuan musim ini.
Siapa sangka, pasukan yang beraksi saingan Divisyen 1 mampu mengubah jalan cerita mereka dengan mencuri slot ke Liga Premier selepas muncul naib juara kejohanan itu.
Pastinya, individu yang paling gembira dengan kejayaan itu adalah seseorang yang tidak pernah kenal erti lelah dalam mengurus pasukan iaitu Syahril Mohd Rashid.
BACA LAGI: Menang bergaya ke semifinal, fans Gergasi Merah masih belum maafkan Ronnie
BACA LAGI: Hanya TMJ tahu apa yang terbaik, saya sayang Malaysia — Bergson
Pengurus Selangor Pistons, Syahril Rashid.
Sebagai pengurus Selangor Pistons, setiap kemenangan yang diraih oleh pasukannya itu menjadi kebanggaan untuknya.
"Selangor Pistons melalui musim yang sangat bermakna, bermula dari Divisyen 1 hingga layak ke Liga Premier dan akhirnya beraksi di STL Champions Cup. Pencapaian ini adalah hasil komitmen luar biasa daripada semua pemain dan pasukan.
"Saya amat berbangga dengan prestasi mereka, terutamanya kerana kita merupakan pasukan yang baru dinaikkan pangkat dari Divisyen 1. Pada awalnya, kami menyasarkan untuk berada di dalam kelompok lima teratas Liga Premier dan Alhamdulillah, kami berjaya mencapainya.
"Kami juga berjaya mencapai keputusan yang konsisten, bermula dengan tempat ketiga di Grand Prix Selangor, diikuti dengan kejayaan layak ke peringkat seterusnya, malah ke final," katanya kepada Majoriti.
Menurut Syahril, dia amat berbangga kerana anak-anak buahnya berpeluang untuk beradu tenaga dengan salah satu pasukan elit di Thailand dalam kempen STL Champions Cup baru-baru ini.
"Di Champions Cup, kami berpeluang bertemu dengan pasukan-pasukan elit, termasuk Royal Thai Air Force yang dibarisi oleh dua pemain kebangsaan Thailand. Walaupun kami sedar jurang antara kedua-dua team, kami tetap memberikan saingan yang hebat.
"Kejayaan kami menewaskan mereka adalah hasil semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kami, walaupun kami hanya mempunyai dua pemain negara dan selebihnya terdiri daripada bekas pemain dan pemain negeri," jelasnya.
Zuhri Zin (kanan) selaku tekong membantu memberi mata kepada Selangor Pistons menerusi servis tajam yang dihasilkan.
Syahril berkata, semangat yang tinggi ditampikan oleh Selangor Pistons merupakan kunci utama pasukan itu kekal konsisten dalam meraih setiap kemenangan.
"Kemenangan ini adalah satu kenangan yang tak akan dilupakan kerana ia membuktikan bahawa semangat pasukan kami sangat tinggi dan kami dapat mengatasi cabaran yang besar. Saya sangat terkejut dan bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kami dalam perlawanan tersebut.
"Keputusan yang dicapai memang menggembirakan, tetapi saya sangat berbangga dengan prestasi dan tahap permainan pemain-pemain saya. Memang tidak mudah, terutama apabila berhadapan dengan pasukan seperti Thailand, yang peluang untuk menang sangat tipis.
"Jika dilihat perjalanan Selangor Pistons, kami bermula dari Divisyen 1 dan terus maju hingga ke Champions Cup, yang sememangnya bukan laluan yang mudah.
"Namun, Alhamdulillah, berkat semangat juang pemain-pemain dan pengurusan, kami dapat mengharungi segala cabaran dan kesulitan sepanjang musim ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram