TULAR sebuah video di media sosial memaparkan kemahiran menggulung yang dipamerkan oleh seorang pemain amatur sukan sepak takraw.
Menerusi satu hantaran video yang dikongsikan oleh BOLAROTANTV di laman Facebook, kelihatan salah seorang pemain yang beraksi sebagai apit kanan itu cukup cemerlang dalam membuat rejaman ke arah lawan.
Menurut info awal, apit kanan tersebut merupakan pemain berketurunan Orang Asli yang berasal dari Bera, Pahang.
BACA LAGI: Rembatan jauh antara sebab KL City perlu bertahan bertemu JDT — Miroslav Kuljanac
"Sakri, berusia 22 tahun dari Bera Pahang, memang bagus pemain keturunan Orang Asli," katanya.
Menurut BOLAROTANTV, jika melihat kepada gaya permainan yang ditampilkan oleh Sakri, termasuk pukulan, lompatan dan gerakan badan memang jelas menunjukkan dia memiliki potensi besar sebagai seorang pemain sepak takraw pada masa akan datang.
"Bakat seperti ini wajar diberi perhatian. Lihat sahaja cara permainannya yang penuh gaya, malah mirip dengan pemain Thailand. Memang menarik untuk ditonton," katanya.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata peminat sukan bola rotan itu berpendapat bahawa Sakri mempunyai peluang beraksi sebagai killer bagi pasukan Pahang Mammoth.
"Sudah macam pemain Thailand tengok skill dia ni, killer Pahang Mammoth sedia ada pun tidak sehebat Sakri, sangat sesuai untuk ketengahkan bakat dia," kata Kahar Kay.
"Memang ramai Orang Asli yang berbakat dalam sepak takraw, kebanyakan semua hebat sebagai posisi killer," kata Udin Najmudin.
"Pahang Mammoth sudah boleh usha dia ni, tak akan nak main Liga Premier lagi musim depan," kata Nizar AbdJalil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram