Anggap Piala Malaysia lebih penting, pemain Sabah disaran 'simpan kuku' jumpa JDT


  • Podium
  • Isnin, 30 Dis 2024

Penyokong Sabah minta kelab fokus Piala Malaysia berbanding Liga Super. — Facebook/Sabah FC

KELAB Borneo, Sabah FC bakal berdepan cabaran getir sebaik saja saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada Januari.

Dengan liga kini berehat seketika, ia memberikan ruang untuk skuad kembali merencana strategi menjelang pusingan kedua Liga Super serta fasa penghujung Piala Malaysia.

Bagi Sabah, itulah dua sasaran yang perlu dikejar memandangkan mereka masih mengekori rapat Selangor FC dalam perebutan ke Asia musim depan.

BACA LAGI: The Rhinos muncul semifinalis Piala Malaysia, Stano mahu pemain Sabah nikmati cuti Krismas puas-puas

BACA LAGI: Sabah tempang jumpa JDT tanpa bintang import

Dalam masa yang sama, Sabah berpeluang untuk mendakap kejuaraan apabila mereka turun berdepan Sri Pahang FC dalam separuh akhir Piala Malaysia.

Akan tetapi, jadual yang menanti Sabah tidak mudah. Lawan pertama yang bakal menanti mereka selepas liga kembali bersambung adalah Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi liga pada 11 Januari.

471299242_998060709027287_5250157045632956624_n

Gabriel Peres (kanan) tidak akan diturun menentang JDT akibat digantung. — Facebook/Sabah FC

Ia kemudiannya disusuli perlawanan bertemu Sri Pahang bagi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 18 Januari diikuti aksi berdepan Negeri Sembilan FC pada 25 Januari.

Sabah akan menghabiskan perhitungan mereka bertemu Sri Pahang pada bulan seterusnya apabila mereka bertemu sekali lagi semasa 2 Februari.

Melihat kepada situasi tersebut, jelas sekali penyokong Sabah berharap agar kelab mengutamakan Piala Malaysia berbanding Liga Super kerana mereka mempunyai peluang lebih cerah untuk ke perlawanan akhir.

Ada yang meminta agar Sabah 'simpan kuku' semasa bertemu JDT sebelum turun berdepan skuad Tok Gajah dalam misi ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Seelok-eloknya masa lawan JDT nanti jangan terlalu agresif, sebab lawan Sri Pahang lagi penting untuk ubah nasib Sabah sama ada boleh pergi perlawanan akhir Piala Malaysia atau tidak. Kalau boleh elakkan pemain Sabah dapat kad (kuning atau merah) lawan JDT," kata penyokong bernama Janie Abdullah.

Sabah kini tempang tanpa Saddil Ramdani serta Park Tae-su yang cedera dan Gabriel Peres yang digantung bertemu JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram