ISU masalah gaji melibatkan kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC memasuki babak baharu selepas pasangan kepada salah seorang pemain secara terbuka menempelak pengurusan pasukan tersebut.
Wanita dikenali sebagai Mira Izhar yang merupakan pasangan kepada pertahanan Kedah, Irfan Zakaria secara terbuka mempersoal pengurusan Kedah akibat tunggakan gaji sudah memasuki sembilan bulan.
Mira membangkitkan adakah pengurusan Kedah tidak berasa bersalah apabila membiarkan para pemain tidak dibayar gaji tetapi masih disuruh beraksi.
BACA LAGI: 'Penyelesaiannya, carilah kerja tetap dan lebih kukuh'
Kedah dilaporkan sudah sembilan bulan tak bayar gaji pemain. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
"Tak rasa berdosa ke aniaya orang? Player (pemain) ada anak bini (isteri) nak tanggung adan komitmen lain.
"Sembilan bulan dah woiii, teruk betullah team (pasukan) macam ini," luahnya dalam media sosial.
Luahan Mira itu memberikan isyarat jelas, situasi di Kedah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk menjadi baik. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan ia semakin teruk.
Isu tunggakan gaji pemain Kedah sudah menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan sejak awal musim. Bahkan, ada juga yang sudah meluat dengannya kerana pengurusan seolah-olah tidak berusaha untuk membaiki keadaan.
Sebaliknya, timbul cadangan untuk pemain Kedah melupakan saja karier bermain mereka dan mencari kerjaya yang lebih stabil walaupun bayarannya tidak mewah mana demi menanggung keluarga.
"Pergi kerjalah dik, main bola tu bukan semua orang boleh kaya," kata penyokong bernama Edwin Tai.
"Sudah sembilan bukan tak ada gaji, cari kerja lain sajalah. Nak berharap apa kalau pengurusan sudah sedia teruk," komen Aerol Rull.
Sebagai rekod, Kedah merupakan salah satu daripada enam kelab Liga Super yang dilaporkan mengalami masalah gaji tertunggak musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram