Suhaimi Husin berehat panjang, anak jati Kuala Nerus patut taruhan utama jadi GK no.1


  • Podium
  • Ahad, 29 Dis 2024

Ramai berharap agar Badrul Afzan mempertaruhkan Syed Nasrulhaq sebagai penjaga gol nombor satu menggantikan Suhaimi. — Facebook/TFC

MISTERI mengenai kehilangan Suhaimi Husin akhirnya terjawab selepas Terengganu FC (TFC) mengesahkan bahawa penjaga gol berkenaan sedang bertarung dengan kecederaan.

Dalam satu kenyataan, skuad Sang Penyu telah memaklumkan bahawa Suhaimi mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan dan telah selamat menjalani pembedahan.

Melalui imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), penjaga gol berusia 30 tahun itu disahkan mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) dan Medial Meniscus Tear pada lutut kanan.

BACA LAGI: Lama tak turun beraksi, Akhyar Rashid 'pecah lubang', penjaga gol Sang Penyu rupanya terlantar di hospital

BACA LAGI: Berkat prestasi cemerlang, Suhaimi Husin terima seruan KPG sertai Harimau Malaya

“Suhaimi telah selamat menjalani pembedahan melalui kaedah ‘Repair and augment fiber tape’ pada bahagian ligament dan meniscus beliau. Tempoh pemulihan dijangka bakal mengambil masa sekitar empat hingga enam bulan.

“Sememangnya tiada pemain ingin mengalami kecederaan seperti ini, diharapkan Suhaimi tetap kuat dan didoakan agar cepat sembuh untuk kembali bersama pasukan,” kongsi TFC menerusi media sosial rasmi pada Ahad.

Kehilangan Suhaimi sangat dirasai penyokong Terengganu susulan penjaga gol berketinggian 1.82 meter itu merupakan watak utama skuad Sang Penyu pada musim lepas, yang membantu pasukan menjadi naib juara Piała Malaysia 2023.

Dengan situasi Suhaimi tidak dapat diturunkan bagi jangka masa panjang, TFC perlu segera memilih sama ada mahu menurunkan Syed Nasrulhaq Syed Bidin atau Rahadiazli Rahalim untuk aksi selepas ini.

Menjengah ruangan komen penyokong Terengganu, ramai berharap agar pengendali sementara, Badrul Afzan Razali mempertaruhkan Syed Nasrulhaq sebagai penjaga gol nombor satu menggantikan Suhaimi.

“Tinggal Rahadiazli dan Syed sahaja tapi lebih baik Syed yang diturunkan selepas ini,” kata penyokong Terengganu, Jul Din.

“Syed ada, gunalah Syed,” pendapat penyokong Sang Penyu, Mohammad Amin.

Setakat ini, pemain kelahiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu sudah tampil dalam lapan perlawanan dan membantu TFC menang lima aksi daripadanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram