Parut sama seperti Faisal Halim sumber motivasi, impian budak berparut kena renjatan elektrik di Mengkuang Titi tercapai


  • Podium
  • Rabu, 01 Jan 2025

Impian Dawisy (Baju Hitam) untuk bertemu idolanya Faisal Halim (Baju Putih) tercapai Padang Mengkuang Titi, Pulau Pinang pada Rabu.

IMPIAN seorang remaja, Mohd Dawisy Zarif, yang melecur seluruh badan akibat renjatan elektrik dua tahun lalu untuk bertemu dengan pemain idolanya, Faisal Halim akhirnya tercapai.

Keterujaan jelas terpancar di wajah Dawisy apabila disambut sendiri oleh penyerang The Red Giants itu sebaik tiba di Padang Mengkuang Titi dekat Seberang Perai, Pulau Pinang pada Rabu.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, Zachki Ahmad Suri memaklumkan pertemuan itu diaturkan sebagai kejutan istimewa untuk Dawisy, yang diberitahu oleh ibunya bahawa mereka akan menghadiri majlis kenduri kahwin.

"Impian adik Mohd Dawisy yang melecur seluruh badan akibat renjatan ketika mengambil bola di dalam bilik jana kuasa elektrik pada 2023 untuk bertemu Faisal Halim akhirnya tercapai apabila beliau dipertemukan dengan idolanya di Padang Mengkuang Titi pada Rabu.

BACA LAGI: Teruja Abualnadi ke Selangor, bakal pemain warisan tertarik sarung jersi Merah Kuning?

BACA LAGI: [VIDEO] Baru masuk Selangor, ramai mula samakan Abualnadi dengan bekas bek Lubnan

"Dawisy yang awalnya dimaklumkan oleh ibunya yang mereka akan ke majlis kenduri kahwin, kelihatan agak terkejut selepas Faisal sendiri yang bangun untuk menyambut ketibaan remaja tersebut.

"Sekali pandang, parut di badan Dawisy hampir sama dengan apa yang dialami oleh Faisal. Semoga pertemuan pada Rabu, memberikan sedikit motivasi kepada Dawisy untuk memulakan persekolahan menengahnya nanti," tulisnya pada Rabu.

Pada Oktober lalu, media melaporkan ibu kepada remaja tersebut, Suhana Samsudin memaklumkan Dawisy memasang hasrat untuk bertemu pemain bola sepak kegemarannya, Faisal.

Suhana berkata, ketika gambar Faisal atau Mickey yang menghadiri sidang media kali pertama selepas kejadian disimbah asid, Dawisy sering menganggap nasib yang menimpa mereka hampir sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram