Iktibar aksi dihenyak Tok Gajah, 3 tonggak muda Selangor wajar duduk 'bench' jumpa Cebu


  • Podium
  • Khamis, 05 Dis 2024

Gergasi Merah akan bertemu Cebu FC dalam saingan ACL2 pada Khamis.— Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC terlepas peluang merangkul trofi ke-34 Piala Malaysia apabila tewas 2-3 secara agregat selepas hanya merekodkan keputusan 1-2 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Ahad.

Dua jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero menamatkan cabaran mereka dalam Piala Malaysia bagi musim ini namun mereka akan meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kekalahan berkenaan juga menyaksikan pengendali baharu Selangor, Katsuhito Kinoshi masih belum berjaya meraih kemenangan selepas dua perlawanan mengemudi Gergasi Merah termasuk aksi bertemu Muangthong United FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong JDT dituduh mula kufur nikmat? Rindu 2 aksi ex import Argentina

BACA LAGI: Perlu segera transformasi skuad, Gergasi Merah wajar pertimbang bawa balik 2 anak jati, ‘new’ Arif Aiman

Jika menjengah media sosial, tidak dinafikan ada penyokong Gergasi Merah melihat keputusan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail dan juga keputusan daripada Video Bantuan Pengadil (VAR) seolah-olah tidak mengizinkan Selangor menang.

Namun, ada juga penyokong berpendapat kesilapan pemain juga dikatakan menjadi punca Selangor ditunjukkan jalan keluar. Oleh itu, ada beberapa tonggak yang diturunkan ketika aksi bertemu Pahang diharap tidak menjadi kesebelasan utama bertemu Cebu FC.

Menjadi iktibar perlawanan kepada Tok Gajah, Majoriti menyenaraikan tiga pemain Selangor yang wajar dielakkan Kinoshi daripada diturunkan bertemu kelab Filipina itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada Khamis.

1) Harith Haiqal

harith

Harith antara bek tengah menyinar Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC

Pertahanan muda sedang meningkat naik, Harith Haiqal sedang menikmati musim terbaiknya apabila sering menjadi kesebelasan utama dalam aksi domestik mahupun saingan di pentas Asia.

Bukan hanya berfungsi sebagai pertahanan tengah, pemain berusia 22 tahun itu juga mendapat kehormatan menjadi ketua pasukan ketika perlawanan ACL2 bertemu kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.

Bagaimanapun, kesilapan bek tengah itu ketika bertemu Sri Pahang baru-baru iaitu ketika menjatuhkan Mykola Ahapov menyebabkan ada penyokong berpendapat Harith wajar direhatkan sebentar dan memberikan peluang kepada pertahanan lain.

Kinoshi boleh meletakkan pemain import Jordan, Mohammad Abualnadi sebagai kesebelasan utama selepas bek berusia 23 tahun itu juga dilihat cukup tenang dalam menghalang hantaran dan rembatan merbahaya lawan.

2) Zikri Khalili

zikriii

Zikri banyak menjadi pilihan kesebelasan utama pada musim ini. — Facebook/SelangorFC

Zikri Khalili musim ini menunjukkan peningkatan ketara terutamanya ketika Selangor dikendalikan oleh Nidzam Jamil. Sebagai rekod, Zikri melakukan sembilan penampilan dalam Liga Super dan tidak pernah terlepas sebarang aksi Selangor di Asia.

Lebih menarik, pertahanan kanan berkenaan dianggap sebagai pemain yang 'bersih' apabila cuma mengutip satu kad kuning dalam aksi Liga Super iaitu ketika bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC.

Meskipun cemerlang dengan aksi-aksi sebelum ini, masih ada sesetengah penyokong mahu Kinoshi meletakkan Zikri sebagai pemain gantian selepas pemain berusia 22 tahun itu dilihat terlalu gopoh dan tidak tenang pada aksi bertemu Tok Gajah.

Sebagai pengganti di posisinya, Sharul Nazeem yang baru tampil dalam dua aksi ACL2 boleh diberikan peluang bermain sebagai kesebelasan utama bertemu Cebu. Kelincahannya boleh membantu melakukan serangan ke kubu lawan.

3) Azim Al-Amin

azim azim

Azim menyertai Gergasi Merah pada awal musim ini. — Facebook/SelangorFC

Penjaga gol kebangsaan, Azim Al-Amin menyertai Gergasi Merah pada awal musim ini selepas cemerlang bersama skuad Bawah 23 (B-23) tahun dan beraksi untuk Kuala Lumpur (KL) City FC sejak 2021 hingga 2023.

Sejak penjaga gol senior, Samuel Somerville tampil dengan persembahan tidak konsisten, ia memberi jalan kepada Azim untuk merebut tempat sebagai tonggak utama dalam aksi domestik mahupun ACL2.

Azim yang sudah beraksi dalam lima perlawanan ACL2 setakat ini telah dibolosi lima gol juga pada saingan tersebut dan hanya meraih satu 'clean sheet' iaitu ketika pertemuan menentang Cebu pada 3 Oktober lepas.

Aksi Azim juga mendapat kritikan ketika pertemuan menentang Tok Gajah selepas penjaga gol berusia 24 tahun itu tidak berhasil menyelamatkan dua sepakan penalti dari Hidalgo dan Aguero. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram