Teruja Abualnadi ke Selangor, bakal pemain warisan tertarik sarung jersi Merah Kuning?


  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Abualnadi pasti diharapkan dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

SKUAD Gergasi Merah terus diperkukuhkan dengan kemasukan pemain pertahanan baharu dalam barisan pertahanan apabila bek kiri Bawah 23 Tahun (B-23) Jordan, Mohammad Abualnadi diumumkan sebagai rekrut terbaru mereka.

Meskipun masih muda, pemain berkenaan memiliki pengalaman cukup luas dalam kariernya kerana pernah beraksi dalam beberapa kelab di Timur Tengah serta Amerikan Syarikat.

Selain itu, usianya yang masih mentah dalam sukan bola sepak juga tidak menghalangnya daripada dipanggil ke dalam skuad senior Jordan dengan penampilan sulung sudah direkodkannya.

BACA LAGI: Wan Kuzain selangkah sarung jersi Harimau Malaya, lapor diri lepas pulih daripada kecederaan

BACA LAGI: Lepas Wan Kuzain-Mats Deijl, ada 3 lagi calon warisan luar negara wajar 'dipancing' FAM

pi-mls-sporting-kc-wan-kuzain-041920

Wan Kuzain beraksi buat Sporting Kansas City selama beberapa musim.

Kemasukannya pasti membawa keriangan buat penyokong Selangor FC memandangkan posisi pertahanan sayap kiri cukup rapuh dengan Fazly Mazlan serta Ahmad Zikri Khalili bukanlah pilihan terbaik.

Jadi, tidak hairanlah apabila video pengumumannya di laman media sosial kelab menarik perhatian ramai yang ternanti-nanti untuknya mencipta debut buat pasukan.

Tetapi, apa yang lebih mengujakan mengenai perasmian Abualnadi sebagai bintang baharu skuad Gergasi Merah adalah apabila pemain warisan negara, Wan Kuzain Wan Kamal sempat menghangatkan suasana.

Ini selepas dia meninggalkan komen ringkas 'Moooo' berserta emoji suka dalam salah sebuah video dimuat naik Selangor FC di Instagram dengan hal itu menimbulkan spekulasi antaranya dan pasukan itu.

Walaupun komen berkenaan tidaklah memberikan sebarang maksud tersirat, ia sudah cukup buat penyokong beranggapan penyerang berusia 26 tahun itu terbuka untuk menyertai skuad Gergasi Merah.

Spekulasi itu juga boleh dikatakan agak kukuh memandangkan Wan Kuzain akan menyertai skuad kebangsaan dalam masa terdekat dengan perpindahan ke kelab Liga Super akan memudahkan segala proses tersebut.

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan pemain St Louis City II itu meninggalkan komen tersebut kerana dia pernah bergandingan bersama Abualnadi ketika di Sporting Kansas City beberapa musim lalu.

Malah, berdasarkan maklumat daripada laman sesawang transfermarkt, kedua-dua mereka pernah beraksi bersama-sama ketika dalam pasukan simpanan semasa saingan USL Championship 2019.

Sejak itu, kedua-dua mereka sudah berpisah dengan Abualnadi memilih untuk melebarkan sayap pengalaman ke Jordan sementara Wan Kuzain kekal dengan kariernya di Amerika Syarikat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram