RUBEN Amorim tidak mempunyai permulaan yang baik sebagai pengendali Manchester United menggantikan Erik ten Hag.
Pengurus muda itu baru-baru ini berdepan satu lagi kekalahan apabila United tumpas 0-2 kepada Wolverhampton Wanderers pada perlawanan Hari Boxing.
Kekalahan itu membuatkan United semakin jauh dengan kedudukan 10 terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus membuatkan usaha kelab itu untuk bangkit semakin sukar.
BACA LAGI: Ruben Amorim pengurus paling 'teruk' Man United sepanjang tempoh 100 tahun
BACA LAGI: Pernah dapat pujian Amorim, Chelsea mahu sailang 'wonderkid' buruan Man United
Kekalahan United kepada Wolves dihiasi dengan kad merah diraih Bruno Fernandes (tengah). — Agensi
Keperitan yang dilalui oleh United mendapat perhatian bekas bintang mereka iaitu Cristiano Ronaldo. Pemain berusia 39 tahun itu menyedari kelab lamanya itu masih dibelenggu masalah.
Namun dengan Amorim kini menjadi pengendali, dia yakin United pasti boleh bangkit dan melupakan waktu sukar yang dialami mereka ketika ini.
"Ruben Amorim melakukan tugas yang cemerlang di Portugal dengan kelab saya (Sporting Lisbon). Tetapi, di EPL ia adalah cabaran berbeza, ia adalah liga paling kompetitif di dunia.
"Saya tahu ia adalah sukar dan badai akan terus melanda. Tapi, badai akan berhenti dan mentari akan muncul lagi. Saya harapkan yang terbaik untuknya dan Manchester United kerana saya sayang kelab itu," ujar Ronaldo.
Dalam masa yang sama, Ronaldo turut mengatakan yang United masih lagi mengalami masalah yang serupa walaupun sudah bertukar pengurus.
Padanya, barah dalam pasukan bukannya terletak pada pengurus, tetapi pemain di dalam skuad United yang tidak cukup bagus untuk bersaing.
"Saya pernah kata setahun yang lalu dan saya akan katakan lagi, masalahnya bukan pada jurulatih.
"Ia seperti akuarium dan anda ada ikan yang sakit di dalamnya, anda keluarkannya dan masalah selesai. Jika anda masukkan semula di dalam akuarium, ia akan sakit semula. Itulah Manchester United, masalahnya sama saja," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram