SEJAK ketibaan Sir Jim Ratcliffe di Manchester United, ramai mengharapkan dia akan mengubah kelab itu menjadi lebih baik dan kembali mencabar kejuaraan liga dan Eropah.
Namun begitu, lain pula ceritanya. Dia kelihatan semakin tidak popular dengan pelbagai keputusan yang dilakukannya atas tujuan untuk menjimatkan kos.
Dengan England sedang rancak menyambut Hari Natal, Ratcliffe tidak ketinggalan untuk terus mencuri tumpuan apabila dia terus memotong perbelanjaan United berkenaan perayaan itu.
BACA LAGI: Cristiano Ronaldo yakin Ruben Amorim mampu bangkitkan semula Man United
BACA LAGI: Pernah dapat pujian Amorim, Chelsea mahu sailang 'wonderkid' buruan Man United
Sebelum ini, Ratcliffe membatalkan sambutan Hari Natal peringkat kelab malah bonus untuk para pekerja di United turut dikurangkan serta diganti dengan baucar.
Kali ini, Ratcliffe dilaporkan memotong wang yang sepatutnya disalurkan kepada badan amal buat legenda kelab itu. Memetik laporan di England, pemotongan dana itu adalah sebanyak £40,000 (RM225,000) kepada Persatuan Bekas Pemain-Pemain Manchester United yang sudah ditubuhkan sejak 1985.
Denis Irwin antara salah seorang penerima bantuan yang terkesan. — Agensi
Persatuan tersebut diwujudkan bagi membantu para pemain United yang tidak bernasib baik selepas mereka bersara daripada bola sepak. Ahli persatuan tersebut jelas terkejut apabila sumbangan yang sepatutnya diberikan tidak hadir kerana tindakan penjimatan yang dilakukan oleh Ratcliffe.
Lebih malang, tindakan United itu tidak dimaklumkan sehinggalah mereka sendiri bertanya kepada kelab.
Salah seorang bekas pemain, Jim Elms, 84, yang beraksi untuk skuad remaja dan simpanan United sekitar 1957 hingga 1960 meminta agar kelab itu mempertimbang semula pendirian mereka terhadap tindakan itu.
"Kami hantar surat kepada kelab yang kami tidak dibayar. Tiada siapa yang memberitahu kami, jadi kami terpaksa hantar surat kedua. Selepas itu, kami mula mendengar cakap-cakap yang mengenai perkara ini yang akan menjadi pengakhiran buat kami," katanya.
Dalam persatuan tersebut, terdapat lebih 300 bekas pemain United dengan beberapa nama seperti Bryan Robson, Dennis Irwin dan Denis Law. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram