TIDAK mahu mengeruhkan lagi keadaan, kapten Burnley FC, Josh Brownhill mengesahkan bahawa dirinya bukan warganegara Malaysia.
Pendedahan yang dibuat oleh Josh itu dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Menerusi kenyataan tersebut, pemain berusia 29 tahun itu mengambil keputusan untuk menjelaskan khabar angin tentang dirinya di negara ini.
BACA LAGI: Umarbek tinggalkan Selangor, peluang cerah buat Kinoshi contohi stail Terengganu FC
Kenyataan rasmi yang dimuat naik Josh tentang khabar angin tersebut.
Katanya, dia berasal dari England, United Kingdom (UK) dan tiada sebarang pertalian darah dengan rakyat Malaysia.
"Sekadar ingin menjelaskan situasi sebenar. Satu-satunya kewarganegaraan saya ialah Inggeris dan saya bukan warga Malaysia seperti yang mungkin difikirkan oleh sesetengah orang.
"Saya tidak pasti bagaimana semua ini bermula tetapi saya mahu menjelaskannya. Terima kasih atas sokongan tidak kira," tulisnya.
Sebelum ini, peminat bola sepak dikecohkan dengan dakwaan melibatkan pemain tersebut mempunyai pertalian darah dengan negara ini tetapi tidak mengetahui kewujudan Malaysia.
Josh pada masa sama turut dikaitkan dengan khabar angin untuk menyertai Harimau Malaya.
Penjelasan Josh itu bagaimanapun jelas dapat menutup segala spekulasi dan persoalan ramai untuk pemain berkualiti di Eropah beraksi buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram