DALAM era digital yang serba canggih, perniagaan kedai alat tulis menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan ketangkasan dan strategi bijak untuk kekal relevan.
Meskipun alat tulis masih mempunyai permintaan, perubahan gaya hidup dan kemajuan teknologi telah mengubah tabiat pengguna secara drastik.
Namun, bagi pengusaha kedai alat tulis tempatan, CzipLee, jawapan kepada cabaran tersebut terletak pada evolusi, kemapanan dan nilai hubungan kekeluargaan yang diperjuangkan bagi terus memacu perniagaan terbabit.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Ditubuhkan pada 1968 sebagai kedai runcit di Kajang, CzipLee berkembang menjadi nama dikenali dalam bidang barangan alat tulis, menawarkan inventori gabungan lebih 70,000 produk pilihan di seluruh cawangannya di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan milik keluarga itu berdepan cabaran daripada insiden kebakaran dan banjir di samping turun naik permintaan yang berpunca akibat pandemik.
Menurut Pengarah Eksekutif CzipLee, Alvin dan Jason Chen, keupayaan untuk menyesuaikan diri, berubah dan berinovasi menjadi bahagian penting dalam perjalanan perniagaan mereka.
"Terdapat banyak peringkat dalam pertumbuhan kami. Sebelum pandemik, setiap dua tahun akan ada perubahan pada tapak lokasi, paparan, rangkaian tawaran dan kedai dalam talian kami.
"Kami melakukan semua ini dan cuba kekal relevan dalam pelbagai cara, dan semuanya kembali kepada teras kami, iaitu perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan kami,” kata Jason.
Alvin dan Jason Chen tidak pernah dipersiapkan untuk mengambil alih CzipLee, dan mereka juga tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian pada awalnya.
Pendedahan awal
Sejak kecil, dua beradik, Jason dan Alvin sememangnya terdedah secara langsung kepada perniagaan keluarganya.
Malah, tidak salah untuk menyatakan bahawa pertumbuhan dan perkembangan mereka pada awal usia sepenuhnya tenggelam dalam aktiviti perniagaan tersebut.
"Rumah pertama saya pada asasnya terletak di atas kedai," ujar Jason yang merupakan anak sulung dalam keluarga terbabit.
Kedai CzipLee pertama di Kajang, yang dibuka dan dikendalikan ibu bapa mereka, adalah tempat mereka menghabiskan kebanyakan waktu selepas sekolah sebagai kanak-kanak.
“Kami akan tidur di kedai. Ibu bapa kami akan bekerja dan kami akan berada di belakang kaunter sambil tertidur.
"Semasa cuti sekolah, kami secara langsung perlu bekerja di sana untuk mendapatkan wang saku dan membayar 'barang percuma' yang kami dapat dari kedai,” kongsinya.
Walaupun sudah membantu di kedai ketika mereka masih muda, saudara mara memberitahu dua beradik itu bahawa mereka tidak pernah dipersiapkan untuk mengambil alih CzipLee dan perkara itu langsung tidak berada dalam perancangan.
Dengan terdapat sepupu mereka yang sudah terlibat dalam perniagaan itu, mereka berdua telah meneruskan laluan kehidupan masing-masing di luar negara.
Hanya ketika bapa mereka, Peter Chen, mula memikirkan idea untuk membuka kedai di Bangsar, kedua-dua beradik itu dipanggil semula untuk terlibat sama dalam perniagaan.
"Kami pulang dari Australia, dan segala-galanya kemudian berlaku satu demi satu.
“Jason menyertai perniagaan itu, dan dia bertanya sama ada saya mahu membantu untuk sementara waktu.
"Pada masa itu, saya bersetuju untuk melakukannya selama mungkin dua tahun...tapi akhirnya ia berlanjutan sehingga sekarang selepas 18 tahun,” katanya Alvin sambil ketawa.
CzipLee berkembang menjadi nama yang dikenali dalam bidang jualan alat tulis, menawarkan inventori gabungan lebih 70,000 produk pilihan di seluruh cawangannya di sekitar Lembah Klang dan di Johor.
Diberikan tanggungjawab untuk menjaga cawangan di Bangsar, kedua-dua beradik itu bekerjasama untuk memberikan tawaran unik CzipLee ke daerah itu.
"Pada mulanya kami mengambil model perniagaan di Kajang dan cuba melakukan di sini, tetapi ia tidak begitu berkesan kerana pasaran menuntut banyak perkara yang berbeza.
"Dari situ, kami mengambil maklum balas yang diterima dan menjalankan perubahan diperlukan," ujarnya.
Walaupun lokasi asal Kajang mengekalkan pilihan tradisional alat tulis am dan bekalan pejabat serta perkhidmatan percetakannya, cawangan di Bangsar memberi peluang buat mereka untuk membawa konsep dan idea baharu.
Sentiasa berevolusi
Melalui perubahan berterusan selama bertahun-tahun, mereka mengubah cawangan mereka di Bangsar menjadi kedai tumpuan digemari untuk mencari semua keperluan alat tulis.
"Ia mengambil sedikit masa, terutamanya bagi menongkah tradisi dan perniagaan keluarga yang telah berjaya dalam apa yang telah mereka lakukan.
“Ia tidak mudah, tetapi saya rasa kami secara beransur-ansur melihat hasilnya kerana ia sangat berbeza daripada kedai Kajang dari segi rangkaian dan kategori produk,” tambah Alvin.
Bagaimanapun, pemangkin utama kepada keberanian untuk berevolusi sebenarnya tercetus daripada cabaran besar dihadapi perniagaan tersebut.
Pada 2016, kebakaran berlaku di kedai mereka di Bangsar sehingga merosakkan kebanyakan stok dan peralatan kedai itu.
Namun, kedua-dua beradik itu berpandangan bahawa insiden itu dilihat memberikan satu sinar baharu buat mereka khususnya dalam membuka peluang untuk mereka bermula semula dengan lebih segar.
“Ia memberi kami permulaan baharu, dan kami mengambil peluang itu untuk duduk merancang semula kedai dan keseluruhan perniagaan termasuk dengan mempunyai lebih banyak ruang bengkel dan kawasan aktiviti, serta membawa masuk lebih banyak jenama digemari pelanggan,” kata Alvin.
Betul-betul ketika perniagaannya baru sahaja berkembang dengan membuka cawangan pertama di Johor, mereka turut berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.
"Peristiwa besar sedemikian mengubah segala-galanya. Jadi kami bermula kembali dari bawah dan ia membawa kepada pembangunan pantas kedai dalam talian.
"Kemudian, apabila kami membuka semula kedai selepas PKP, kami perlu kembali semula untuk memikirkan percaturan bagi mengenal pasti segmen pelanggan yang berpotensi dalam pasaran pasca-pandemik," ujarnya.
Antara bekalan alat seni yang dijual di kedai CzipLee.
Pada tahun-tahun berikutnya, masalah aliran tunai perniagaan runcit membawa kedua-dua beradik itu di satu titik pilihan yang cukup getir.
“Kami perlu melihat dengan baik dan bertanya kepada diri sendiri sama ada kami berpuas hati dengan aset yang kami ada, atau mengutamakan perniagaan.
"Bersama ibu bapa kami, kami memutuskan meneruskan perniagaan, tetapi itu bermakna kami terpaksa melepaskan premis di Bangsar untuk membantu menambah baik operasi kami,” ujarnya.
Dengan menjual kedai dua tingkat lot tepi di Jalan Telawi dan pada tahun lepas, syarikat itu kemudiannya menumpukan fokus mereka ke arah membina kedai berkonsep dan gerai sementara atau 'pop-up' dengan pelbagai jenis alat tulis dan seni serta produk gaya hidup.
Konsep Jippuri yang dilaksanakan terhadap rangkaian gerai sementara memberikan tumpuan terhadap jualan barang alat tulis Jepun eksklusif, manakala kedai CzipPlus di Bangsar menawarkan alat tulis premium, produk kraf berkualiti tinggi dan sudut Bar Dakwat yang elegan.
Mencipta warisan keluarga
Sejak mengucapkan selamat tinggal kepada kedai lot tepinya, kedua-dua beradik itu mengakui bahawa pembaharuan itu menyebabkan jadual mereka sentiasa sibuk sejak tahun lalu.
Disember 2023 menyaksikan pembukaan kedai CzipLee terbaharu di Bangsar Village II, yang akan berfungsi sebagai pusat operasi baharu perniagaan tersebut.
"Pelanggan juga cukup suka terhadap kedai baharu kami itu," jelas Jason.
Bagi CzipLee, melayan pelanggan seperti keluarga dan mengambil kira maklum balas mereka telah lama menjadi sebahagian DNA perniagaan mereka.
“Apabila anda berniaga di tempat seperti Bangsar, permintaan lebih tinggi kerana orang ramai arif mengenai barangan yang mereka beli.
"Ketika kami bermula pada 2006, pelanggannya yang meminta dan memperkenalkan kami kepada jenama seperti Moleskine dan Rhodia, dan ia sentiasa begitu," kata Jason.
Pembangunan konsep dan perubahan baharu yang dibawa juga sentiasa mengutamakan keperluan khusus setiap komuniti di lokasinya beroperasi.
CzipPlus di Bangsar menawarkan alat tulis premium, produk kraf berkualiti tinggi dan Bar Dakwat yang elegan.
Langkah itu merupakan rahsia di sebalik kejayaan mereka membina hubungan mapan dan erat bersama pelanggan.
"Ada pelanggan yang telah membesar bersama kami dan kini mereka membawa anak mereka sendiri ke sini," kata Jason.
Pada masa sama, semangat hubungan kekeluargaan CzipLee semakin nyata dalam pasukan pekerja mereka.
“Kami amat bersyukur kerana kebanyakan mereka telah lama bersama kami, kira-kira 10 tahun secara purata, dan mereka gembira untuk terus bersama kami melalui pandemik.
"Kami memanggil mereka sebagai sebahagian daripada keluarga kami," kongsi Alvin.
Walaupun perniagaan mengekalkan fleksibiliti ke arah perubahan dalam menghadapi perubahan, nilai ketahanan dan kekeluargaannya kekal diterapkan CzipLee.
"Apabila kami mempertimbangkan untuk melepaskan perniagaan, pekerja dan keluarga kami yang sentiasa memberi kami kekuatan dan menjadi penggerak.
“Satu perkara yang ayah sudah tanamkan dalam diri kami adalah untuk sentiasa meletakkan kepercayaan kepada Tuhan tanpa mengira apa yang berlaku, dan apa yang paling penting adalah bahawa semua individu berada di bawah pengurusan, sentiasa dalam keadaan baik.
"Selagi kami melakukan perkara yang betul dan berintegriti, kami boleh teruskan,” katanya. — The Star/NICOLE CHEW
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram