PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan ciri-ciri individu yang akan menyandang jawatan Pengarah Prestasi Tinggi yang akan mengetuai bahagian kecergasan dan perubatan Harimau Malaya.
Menurut Tunku Ismail, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mempunyai seorang doktor yang mempunyai pengalaman tinggi bersama pasukan Piala Dunia.
Maklumat tersebut dikongsikan oleh Tunku Ismail sebaik sahaja menyatakan ciri-ciri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya yang baharu di Instagram miliknya pada Jumaat (27 Disember).
Tunku Ismail mendedahkan ciri-ciri individu yang akan menyandang jawatan Pengarah Prestasi Tinggi Harimau Malaya.
"Bagi kecergasan dan perubatan, seorang 'High Performance Director' akan dilantik. Dia merupakan seorang doktor yang profesional dan mempunyai pengalaman dengan pasukan Piala Dunia.
"Bukan seorang doktor yang tiada apa-apa pencapaian."
Ia secara tidak langsung pemain-pemain Harimau Malaya juga akan mendapat rawatan berkelas dunia seperti di Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mempunyai pakar perubatan berpengalaman di luar negara seperti Dr. Juan Manuel Boffa dan Dr Jaume Perramon Llavina.
Penglibatan Tunku Ismail menstruktur kembali sistem skuad kebangsaan mendapat persetujuan penyokong-penyokong Harimau Malaya yang dahagakan kejayaan di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Tunku Ismail memberitahu urusan pelantikan CEO Harimau Malaya semakin selesai dengan ciri-ciri pengisi jawatan itu perlu mempunyai kefahaman dalam urusan bola sepak.
"Ketua pegawai eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.
"Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi, tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.
"Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia." katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram