NAHAS pesawat Jeju Air di Seoul, Korea Selatan pada Ahad menyaksikan seramai 179 individu maut selepas kapal terbang domestik itu terhempas akibat masalah dialami ketika mahu mendarat.
Bagaimanapun, dua daripada mereka yang berada di dalam pesawat bernasib baik apabila terselamat dengan kedua-duanya adalah kru penerbangan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Mokpo Hankook, Korea Selatan.
Apa yang mengejutkan adalah apabila salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa dia tidak ingat mengenai nahas tersebut dan berada dalam keadaan terkejut dan kebingungan.
BACA LAGI: Tragedi nahas Ayer Keroh: 2 beradik yatim piatu menangis dapat tahu ibu bapa, adik terkorban
BACA LAGI: Nahas bas terbalik masuk tasik Norway: 4 rakyat Malaysia selamat, cedera ringan — Wisma Putra
Berdasarkan perkongsian kepada doktor, kru berkenaan menceritakan dia hanya mengingati dirinya sedang memakai tali pinggang keledar ketika kapal terbang tersebut sedang mendarat.
Namun, dia yang ditugaskan untuk menjaga penumpang di kawasan belakang pesawat tidak mengingati sebarang perkara yang berlaku dengan hanya kecederaan di kepala bahu kiri dialaminya.
Dia kini sedang diberikan rawatan dengan hentakan di kepala berkemungkinan punca memorinya hilang dengan seorang lagi kru turut dirawat di hospital sama.
Pesawat Jeju Air 2216 membawa 181 individu, termasuk kru penerbangan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada pukul 9 pagi waktu tempatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand.
Keluarga kepada mangsa yang maut sedang meratapi kehilangan mereka yang tersayang. — Agensi
Tetapi, ketika sedang mendarat, kapal terbang tersebut berdepan masalah alat pendaratan selepas difahamkan sayapnya terlanggar burung sehingga menyebabkan isu teknikal.
Saksi kejadian turut melaporkan mereka mendapati pesawat itu sedang cuba mendarat, namun alat pendaratan tidak tersedia sebelum berlaku dentuman kuat di lapangan terbang berkenaan.
Setakat ini, identiti 141 daripada 179 mangsa yang meninggal dunia sudah dikenal pasti dengan rata-rata daripada mereka berasal dari daerah Jeolla yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Muan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram