SERAMAI empat rakyat Malaysia disahkan tercedera dalam kemalangan bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway pada Jumaat.
Wisma Putra memaklumkan, keempat-empat mangsa telah ditempatkan di dua buah hotel berdekatan iaitu Hotel Richard di Stokmarknes dan Hotel Thon, Lofoten.
BACA LAGI: Hanya 2 minit pesalah khalwat selesai dihukum sebat 6 kali
BACA LAGI: Suasana tenang di Masjid Al Muktafi Billah Shah beberapa jam sebelum hukuman sebat syarie
“Empat warganegara Malaysia telah disahkan menginap di Hotel Thon, di mana mereka telah disediakan tempat tinggal.
“Bagaimanapun, disebabkan siasatan yang sedang dijalankan, penumpang-penumpang ini tidak dibenarkan mengakses telefon atau berkomunikasi terus dengan dunia luar.
"Kakitangan hotel juga dilarang memulakan hubungan dengan penumpang terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Kedutaan Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk memantau rapi perkembangan insiden kemalangan terbabit bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang terjejas.
Pasukan konsular kedutaan sedang giat bekerjasama dengan pihak Norway untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia yang terlibat dan menyediakan bantuan yang diperlukan
"Penyiasatan berterusan, ditambah pula dengan keadaan musim sejuk yang teruk termasuk salji lebat, angin kencang dan jarak yang agak jauh kira-kira 1,500 kilometer (km) dari Oslo telah memberikan cabaran logistik yang ketara dalam mengakses dan membantu individu terjejas.
"Walaupun berdepan cabaran, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia tetap teguh dalam komitmen mereka untuk membantu warga Malaysia yang terlibat," tambahnya.
Kementerian akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyediakan maklumat terkini apabila maklumat baharu tersedia.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan pasukan konsular telah dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kemalangan tersebut.
Daripada 58 penumpang, tiga maut manakala empat cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Stokmarknes.
Nahas itu melibatkan pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine.
Bas yang membawa beberapa pelancong asing itu terbabas keluar dari jalan raya dan tenggelam di tasik berhampiran Selat Raftsundet, yang memisahkan kepulauan Lofoten dari tanah besar Norway. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram