Hasil siasatan awal, ada kemungkinan pesawat Azerbaijan Airlines terkena tembakan sistem pertahanan udara Rusia


  • Benua
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Nahas kapal terbang Azerbaijan Airlines berhampiran Aktau, Kazakhstan pada Rabu.

PESAWAT Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan, mengorbankan 38 orang dipercayai ditembak oleh sistem pertahanan Rusia, menurut empat sumber yang mengetahui mengenai laporan siasatan awal nahas tersebut.

Penerbangan pesawat bernombor J2-8243 itu terhempas pada Rabu bandar Aktau di Kazakhstan selepas ia terpaksa melakukan lencongan dari kawasan selatan Rusia yang mana Moscow berulang kali menggunakan sistem pertahanan udara bagi menangai serangan dron Ukraine.

Pesawat jenis The Embraer (EMBR3.SA) terbang dari ibu kota Azerbaijan, Baku ke Grozny, di wilayah selatan Chechnya, Rusia, sebelum terpaksa mengalihkan perjalanannya ratusan batu merentasi Laut Caspian.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Ia kemudiannya terhempas di pantai bertentangan Laut Caspian.

Pada awalnya, pemerhati penerbangan Rusia mendakwa lencongan itu berlau kerana pesawat berkenaan terjejas selepas terkena burung.

Pegawai kerajaan juga tidak menjelaskan punca menyebabkan penerbangan itu dilencongkan.

Lapangan terbang terdekat Rusia yang turut dikenali sebagai negara Beruang Merah di laluan penerbangan pesawat itu, Makhachkala ditutup pada pagi Rabu.

Salah satu sumber Azerbaijan yang dekat dengan siasatan nahas itu itu memberitahu Reuters bahawa laporan awal menunjukkan pesawat itu terkena tembakan oleh sistem pertahanan udara Pantsir-S Rusia.

Komunikasinya juga dilumpuhkan oleh sistem peperangan elektronik mengenai ketika ia menghampiri Grozny, kata sumber itu.

"Tiada siapa yang mendakwa bahawa ia dilakukan dengan sengaja. Bagaimanapun, mengambil kira fakta dijumpai, Azerbaijan menjangkakan pihak Rusia akan mengaku menembak jatuh pesawat Azerbaijan itu," kata sumber terbabit.

6301076456616350857

Foto memaparkan kerosakan pada serpihan pesawat penumpang Azerbaijan Airlines yang terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan pada Rabu. — Agensi

Tiga sumber lain mengesahkan bahawa siasatan oleh Kerajaan Azerbaijan telah mencapai kesimpulan awal yang sama.

Kementerian Pertahanan Rusia tidak menjawab permintaan untuk memberikan komen.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) memberitahu Reuters pada Khamis terdapat tanda-tanda awal sistem anti-pesawat Rusia mungkin telah menembak pesawat itu.

Dalam pada itu, Kerajaan Kanada menyatakan kebimbangannya berhubung laporan tersebut.

"Kami menyeru Rusia untuk membenarkan siasatan terbuka dan telus terhadap insiden itu dan menerima penemuannya," kata kementerian luar Kanada dalam satu kenyataan di X.

Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Qanat Bozymbaev berkata, beliau tidak dapat mengesahkan atau menafikan hipotesis bahawa pertahanan udara Rusia menjatuhkan pesawat itu.

Ditanya mengenai kemungkinan pertahanan udara Rusia menembak pesawat terbabit, pendakwa pengangkutan Kazakhstan bagi wilayah yang pesawat itu terhempas berkata, siasatan masih belum mencapai kesimpulan yang kukuh.

Sementara, ketika disoal sebelum Reuters menerbitkan mengenai kemungkinan pesawat terhempas itu ditembak sistem pertahanan Rusia, wakil Kremlin berkata, adalah tidak wajar untuk mengulas sehingga siasatan selesai.

"Adalah salah untuk membina hipotesis sebelum kesimpulan penyiasatan," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Gambar serpihan pesawat menunjukkan kerosakan kelihatan seperti kesan tembakan pada bahagian ekor pesawat.

Firma keselamatan penerbangan, Osprey Flight Solutions dalam amarannya kepada syarikat penerbangan pada Rabu memaklumkan rakaman serpihan dan keadaan di sekitar ruang udara di barat daya Rusia menunjukkan kemungkinan pesawat itu terkena beberapa bentuk tembakan anti-pesawat.

Dron tentera Ukraine berulang kali menyasarkan wilayah selatan Rusia dalam beberapa bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan peningkatan aktiviti pertahanan udara Rusia.

Rusia dan Ukraine berperang sejak pencerobohan Moscow ke atas negara jirannya itu pada Februari 2022.

Terdahulu pada Rabu, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan sebanyak 59 dron Ukraine jatuh di beberapa wilayah.

Beberapa daripadanya dilaporkan ditembak jatuh di ruang udara tertutup di yang ditutup daripada sebarang aktiviti penerbangan di kawasan bersempadan Ukraine, termasuk Laut Azov.

Operasi penerbangan dilapor ditangguhkan buat sementara waktu di Lapangan Terbang Kazan, Rusia kerana aktiviti serangan dron terbabit.

Di samping itu, data penjejakan penerbangan ADS-B yang tersedia secara terbuka menunjukkan bahawa pesawat Azerbaijan mengalami kesesakan GPS sepanjang penerbangannya di barat daya Rusia.

Untuk rekod, Rusia turut menggunakan peralatan gangguan elektronik canggih untuk mengelirukan lokasi dron Ukraine dan sistem komunikasi di samping sejumlah besar sistem pertahanan udara yang digunakan untuk menembak jatuh dron tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram