SINAR baharu menanti bola sepak Kelantan apabila sebuah kelab baharu akan tampil memeriahkan kancah bola sepak Malaysia.
Kelantan Red Warrior FC (KRW) akan dilancarkan pada 21 Disember ini dengan usaha untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak di Pantai Timur.
Pada Ahad, pengurusan KRW mengumumkan kelab tersebut akan dilancarkan dengan mengenakan tema "dari penyokong untuk penyokong."
BACA LAGI: Bola sepak Kelatan bakal kembali ke Liga Super dengan identiti baharu?
BACA LAGI: Terengganu FC mudah bawa pulang 3 mata, fans Peteh sakit hati tengok aksi Nelson Bonilla
Menurut pengurusan KRW, pelancaran kelab tersebut bukan saja sekadar faktor bola sepak semata-mata, tetapi membawa harapan rakyat Kelantan yang rindukan kecemerlangan The Red Warriors satu ketika dahulu.
"Kami mengumumkan pelancaran rasmi Kelantan Red Warrior FC pada 21 Disember 2024. Majlis ini lebih daripada pelancaran sebuah kelab bola sepak. Ia adalah simbol harapan, kebangkitan, dan semangat seluruh rakyat Kelantan.
"Sokongan anda adalah tulang belakang kepada Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) ini. Kita akan membina masa depan baharu bola sepak Kelantan dan mengembalikan kegemilangan yang pernah kita miliki," kata pengurusan KRW.
Masih belum banyak butiran lanjut yang dikeluarkan oleh KRW terutamanya mengenai siapakah para pemain dan jurulatih serta liga manakah kelab itu akan bertanding.
Namun begitu, kehadiran KRW akan memberikan keterujaan dalam kalangan pengikut bola sepak Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram