Usah aibkan pemenang Piala Cabaran di sebalik kurang tumpuan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 29 Dis 2024

Selangor FC dan Kelantan Darul Naim FC antara kelab yang menyertai Piala Cabaran musim ini. — Facebook/Selangor FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

ADAKAH anda ingat siapa juara Piala Cabaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim lalu?

Hah... terkial-kial cari jawapan berbanding mengingati Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara quadruple (empat gelaran) Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sepanjang musim 2023.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan kalau JDT ikut bertanding dalam Piala Cabaran, mereka jugalah akan jadi juaranya.

Oops nanti dulu, ia bukan standard Harimau Selatan untuk trofi berkenaan yang rata-rata dilihat sebagai losers' pool (kumpulan pasukan-pasukan yang kalah) di peringkat pusingan 16 terbaik Piala Malaysia bagi musim 2024/2025 ini.

BACA LAGI: Cemerlang di Bukit Jalil, ramai tak sangka gaji bintang Singapura pernah serendah pemain Piala MFL

BACA LAGI: Maniam mula congak keutamaan demi pastikan PDRM capai kedudukan terbaik

Apa perlunya Piala Cabaran?

Ia lahir daripada idea asal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diperkenalkan pada 2018 bertujuan untuk meningkatkan jumlah perlawanan kompetitif buat pasukan-pasukan yang tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia.

Pemerhati seperti FourFourTwo melihatnya sebagai meluangkan satu lagi kesempatan buat pasukan menjulang trofi di samping menjadi medan untuk menilai pemain-pemain dalam menghadapi musim baharu.

Selepas Terengganu FC II menjuarai pertandingan sulung pada 2018, dituruti JDT II musim berikutnya, tiada pertandingan pada musim 2020, 2021 dan 2022 disebabkan pandemik Covid-19 hingga aksinya kembali pada musim 2023 dengan PDRM FC tampil juara.

Di bawah kendalian Datuk Yunus Alif, The Cops menang aksi pertama final 3-0 hasil jaringan Nabil Ahmad Latpi, Uche Agba dan Amir Saiful Badeli di Stadium MBPJ pada 29 November dan seri 1-1 (gol Petrus Shitembi m-32 dan Agba m-56 untuk PDRM) di Kuching pada 3 Disember untuk ditabal juara edisi ketiga dengan agregat 4-1.

2543470

PDRM FC merupakan juara Piala Cabaran musim 2023. — MFL

“Ia satu pencapaian membanggakan. Susah juga ketika itu, Kuching City pun nak menang buat kali pertama. Mereka bermati-matian dalam aksi final kedua tapi kami dapat bertahan untuk keputusan seri. Pada saya, jangan pandang lekeh sangat kat Piala Cabaran ni,” kongsi Yunus dengan Bola Pegun.

Bagi aksi musim 2024/25, bermula dengan peringkat suku akhir, PDRM FC menyingkirkan Melaka FC dengan agregat 4-3 (2-1, 2-2), Kedah Darul Aman (KDA) FC mengetepikan KL Rovers dengan agregat 6-0 (3-0, 3-0), Penang FC menewaskan Putrajaya Athletics dengan agregat 6-0 (2-0, 4-0) dan Selangor FC mengeluarkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan agregat 8-1 (3-0, 5-1).

“Anda fikir mudah untuk kami mengetepikan Melaka (di bawah bimbingan K. Devan),” soal ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam, yang menambah: “Saya berani katakan yang cabaran dalam Piala Malaysia dan Piala Cabaran lebih kurang sama sukarnya.”

Selaku juara bertahan, The Cops melalui detik mencemaskan dalam suku akhir pertama di Stadium MBPJ pada 10 Disember apabila ketinggalan 0-2 kepada jaringan D. Ganesan dan Azim Rahim sebelum bangkit mengikat kedudukan menerusi gol Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Fakhrul Azim Zulphatah, dengan gol penyamaan itu diraih pada minit ke-90+5.

Kemudian, dalam aksi timbal balik pada 21 Disember, dua gol Ifedayo Olusegun untuk kemenangan 2-1 dan agregat 4-3 melayakkan PDRM FC untuk mara – itu pun gol kemenangan diraih di hujung permainan pada minit ke-90+2.

Maniam enggan diajak berkongsi pendapat yang mengatakan Piala Cabaran sebagai saingan losers’ pool yang tidak mendapat banyak tumpuan, lebih-lebih lagi ia berjalan seiring dengan saingan Piala Malaysia.

“Pertamanya, ia sebahagian daripada pertandingan di bawah kelolaan MFL. Ia baik untuk pasukan-pasukan (tersingkir awal daripada Piala Malaysia) dan pemain daripada hanya menjadi penonton ketika aksi sedang berlangsung.

“Keduanya, penyertaan Selangor FC menambah seri kepada pertandingan ini. Ia tidak mudah untuk mana-mana pasukan berdepan mereka. Saya sendiri melihat mereka akan jadi juara Piala Cabaran musim ini. Tapi dalam bola sepak, apa-apa saja boleh berlaku,” tambahnya.

Dalam pusingan 16 Piala Malaysia, skuad Gergasi Merah itu terikat 1-1 dengan Sri Pahang FC di Temerloh pada 23 November dan tewas 1-2 dalam aksi timbal balik pada 1 Disember untuk tersingkir awal dengan agregat 2-3.

Senarai aksi separuh akhir Piala Cabaran membariskan pertemuan PDRM FC lawan KDA FC (18 Januari dan 1 Februari) dan Penang FC lawan Selangor FC (19 Januari dan 2 Februari).

“Kami akan mengambilnya satu demi satu perlawanan, dimulai dengan dua perlawanan menentang Kedah. Tiada guna memandang terlalu jauh ke hadapan ke final kerana Kedah perlu ditundukkan terlebih dahulu.

“Sebagai juara bertahan, ia akan jadi sesuatu yang indah jika kami dapat mengulanginya tapi saya tidak mahu letakkan tekanan terlalu tinggi ke atas pemain-pemain.

“Saya mahu mereka menikmati perlawanan bola sepak dan kami akan memikirkannya apabila sampai ke peringkat itu,” kata Maniam yang berterima kasih kepada pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihannya.

Namun, tidak dinafikannya ia akan amat mengujakannya jika dapat berdepan Selangor FC – pasukan yang dilatihnya pada 2017-2018 -- dalam perlawanan kemuncak secara timbal balik pada 15 dan 22 Februari nanti.

Mengharungi sejumlah enam perlawanan untuk bergelar juara – masing-masing dua di peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir – tiada sesiapa boleh mengandaikan ia satu cabaran mudah dan kejuaraannya pula tidak bernilai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram