RENTAK beberapa kelab Liga Super dilihat terganggu apabila terdapat pemain mereka meninggalkan pasukan akibat kontrak tamat pada akhir 2024 memandangkan musim akan habis pertengahan 2025.
Begitu juga dengan Selangor FC yang kehilangan pemain pertahanan daripada Uzbekistan, Umar Eshmurodov yang turut dilepaskan akibat faktor serupa.
Walaupun kehilangan ‘kereta kebal’ yang berfungsi cukup baik buat Selangor, ia memberikan ruang buat seorang pemain iaitu Khuzaimi Piee untuk akhirnya diberikan peluang dan menonjolkan kualitinya buat Gergasi Merah.
BACA LAGI: Pilih Penang FC, ikut jejak Safawi antara 3 destinasi relevan andai Wan Zack tinggalkan Perak
BACA LAGI: Tunggakan gaji punca pemain Kedah ponteng latihan — Victor Andrag
Faktor pengalaman
Satu perkara yang kita tidak boleh nafikan mengenai Khuzaimi adalah dia merupakan seorang pemain pertahanan yang berpengalaman.
Berusia 31 tahun, pemain berasal dari Krubong, Melaka itu masih mempunyai beberapa musim yang boleh ditawarkan kepada Selangor untuk membantu pertahanan.
Kinoshi perlu mempertimbangkan situasi menggunakan Khuzaimi dalam skaudnya.
Dengan pemergian Eshmurodov, Khuzaimi boleh dikatakan sebagai pemain yang dikira sebagai next in line memandangkan dia beraksi di posisi serupa dengan bintang Uzbekistan itu.
Oleh itu, ia akan memberikan Katsuhito Kinoshi peluang untuk merangka strategi dengan meletakkan Khuzaimi di dalam barisan pertahanan Selangor pada musim ini.
Berstatus kebangsaan
Khuzaimi memang mengalami kesukaran untuk menembusi pintu kesebelasan utama Selangor. Namun begitu, namanya sentiasa ‘lekat’ di dalam skuad kebangsaan.
Malah, namanya turut dipanggil oleh Pau Marti sewaktu Malaysia beraksi di Piala Asean yang menyaksikan ramai bintang-bintang lazim Harimau Malaya tidak beraksi.
Kudrat Khuzaimi (depan) masih ditagih oleh skuad kebangsaan.
Walaupun begitu, ia memberikan gambaran yang kualiti Khuzaimi masih lagi ada kerana dia masih diharapkan untuk mengendalikan bahagian pertahanan skuad kebangsaan berbanding pemain lain yang mungkin ada lebih banyak minit permainan berbandingnya di Liga Super.
Jika diberikan lebih banyak minit bermain untuk Selangor, Khuzaimi boleh tampil ‘tajam’ dan bukan sekadar memberikan manfaat kepada Gergasi Merah, tapi buat Harimau Malaya juga.
Persaingan bersama Afro
Walaupun peluang untuk tampil lebih kerap bersama Selangor itu ada. Tetapi, masih ada perkara perlu dihadapi oleh Khuzaimi iaitu persaingan bersama rakan sepasukan, Sharul Nazeem.
Kedua-dua pemain tersebut cukup berkualiti sebagai pertahanan tengah dengan Sharul dilihat sedikit berkelebihan kerana umurnya lebih muda berbanding Khuzaimi.
Sharul kembali diletakkan di pertahanan tengah selepas pemergian Nidzam Jamil.
Jika sebelum ini semasa Nidzam Jamil menjadi pengendali, Sharul sering diletakkan di pertahanan kanan. Andai pengendali itu masih bersama Selangor, Khuzaimi berpeluang untuk menggantikan terus tempat ditinggalkan Eshmurodov dan bergandingan dengan Harith Haiqal.
Kini di era Kinoshi, Sharul kembali diletakkan di pertahanan tengah. Oleh itu, Khuzaimi perlu kembali bersaing untuk pastikan namanya ada di kesebelasan utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram