Cemerlang di Bukit Jalil, ramai tak sangka gaji bintang Singapura pernah serendah pemain Piala MFL


  • Podium
  • Khamis, 26 Dis 2024

Skuad The Lions menampilkan persembahan cemerlang sepanjang kempen Piala AFF 2024/25. — Facebook/FAS

PERSEMBAHAN bergaya Singapura dalam Piala AFF tahun ini menyaksikan mereka melangkah ke separuh akhir selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di tangga kedua.

Kejayaan itu boleh dikatakan berpunca daripada kehadiran lambakan bintang dalam pasukan, termasuk Hariss Harun dan Safuwan Baharudin yang memainkan peranan penting sepanjang kempen kali ini.

Bagaimanapun, di sebalik nama-nama besar itu, skuad The Lions turut diperkuatkan dengan tonggak Lion City Sailors, Shawal Anuar yang beraksi sebagai pemain sayap kiri.

BACA LAGI: Teruja tundukkan Lion City Sailors, anak buah Bojan Hodak menari terima habuan RM439

BACA LAGI: Sharul Nazeem sahut cabaran, siap sedia laksana misi 'rantai' kemaraan Ilhan Fandi

471152904_1002220941945615_675398160622437576_n

Shawal merupakan antara pemain terbaik dalam skuad Singapura ketika ini. Facebook/FAS

Setakat empat perlawanan, penyerang berusia 33 tahun berkenaan merekodkan empat jaringan, namun gagal mencetak sebarang gol ketika berdepan Harimau Malaya dalam perlawanan akhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ini kerana dalam pertembungan itu, Shawal hanya dimasukkan pada babak kedua permainan memandangkan Singapura menerapkan pendekatan bertahan kerana mereka hanya memerlukan satu mata untuk ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, 45 minit yang diberikan ketua jurulatih, Tsutomu Ogura cukup untuk membuatkan penyokong kedua-dua pasukan kagum akan kebolehannya memandangkan terdapat beberapa percubaan sempat dilepaskan.

Persembahan ditampilkannya itu membuatkan orang ramai tertarik akan nilai pasaran serta gaji diterima Shawal kerana dia kini beraksi buat Lion City Sailors yang merupakan antara kelab terkaya dan terbaik dalam Liga Perdana Singapura.

Tetapi, apa yang mengejutkan adalah apabila peminat bola sepak mendapati pemain kebangsaan Singapura itu pernah dibayar SGD1,500 pada 2014 atau bersamaan RM3,870 berdasarkan nilai tukaran pada ketika itu.

Perkara itu dibangkitkan di laman Instagram Palatao Bola yang menceritakan bagaimana bayaran tersebut diterima Shawal ketika dia menyertai sesi percubaan di Geylang International.

Jumlah diterima tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding pemain dalam Liga Super dengan ada beranggapan amaun itu sama dengan apa diterima bintang muda yang beraksi dalam Piala MFL.

Ini menceritakan bagaimana jumlah gaji diterima bukanlah kayu ukur terhadap kualiti pemain kerana ketika ini, Shawal adalah antara bintang terbaik yang beraksi buat Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram