[VIDEO] 'Yang penting aurat terjaga', berhijab di pentas dunia, kejayaan Sofea buat Katun Aszeril bangga anak teruskan legasi sukan BMX


Katun (tengah) meluahkan rasa bangga dengan pencapaian anak-anaknya dalam sukan lasak BMX Freestyle Flatland.

NAMA Katun Aszeril bukanlah nama yang asing lagi dalam sukan berbasikal lasak. Berasal daripada Kulim, Kedah, lelaki ini boleh dikatakan antara individu yang banyak mengharumkan nama negara dalam sukan lasak ini.

Manakan tidak, Katun Aszeril atau nama sebenarnya Mohd Nor Aszeril Mohd Nor merupakan bekas atlet BMX Flatland Malaysia yang sudah banyak menyertai pertandingan antarabangsa.

Antara pencapaian terbesar yang pernah diraih sepanjang kariernya dalam sukan tersebut ialah dinobatkan sebagai naib juara ketika mewakili negara ke pertandingan Asia X Games pada 2003.

BACA LAGI: Pejuang barah payudara mahu 'ride' solo dari KL ke Arab Saudi bantu kumpul dana pesakit kanser

BACA LAGI: [VIDEO] 'Group assignment pun sama', ibu sanggup teman anak demi sama-sama genggam segulung ijazah

Katun Aszeril merupakan bekas atlet BMX Flatland Malaysia yang sudah banyak menyertai pertandingan antarabangsa.

Pada 2005, Katun mewakili negara bersama empat rakannya yang lain menyertai pertandingan BMX Flatland di Seoul, Korea.

Lebih manis lagi, bakatnya itu kini diturunkan kepada anak sulungnya perempuannya yang kini namanya semakin meningkat naik dalam sukan lasak tersebut.

Menurut Katun, dia berbangga dengan pencapaian anaknya Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril yang kini menduduki tangga keenam dalam BMX Flatland kategori wanita di peringkat antarabangsa.

"Walaupun sukan ini kebanyakannya didominasi lelaki, namun ia bukanlah penghalang Sofea mempelajari pelbagai trik lain bagi meningkatkan kemahiran.

"Malah, Sofea sendiri berjaya mempelajari beberapa teknik dan trik sukar dalam sukan tersebut," katanya kepada Majoriti.

466015889_27511074141840538_1999636880415374713_n

Sofia itu mula menunjukkan minat mengikut jejak langkah ayahnya meminati sukan lasak BMX seawal usia 10 tahun lagi.

Tambah bapa kepada lima anak itu lagi, anak sulungnya yang lebih mesra dipanggil Sofea itu mula menunjukkan minat mengikut jejak langkahnya seawal usia 10 tahun lagi.

"Saya nampak Sofea minat nak belajar dan ketika itu dia mula tunjuk buat trik yang mudah.

"Saya bagi galakan sebab dia minat tetapi ada masa timbul juga rasa bimbang takut dia jatuh, anak perempuan lagi.

"Alhamdulillah, setakat ini tidak ada insiden yang buruk berlaku dan sebagai seorang bapa, saya bangga dengan pencapaian dia," ujarnya yang juga pengasas kepada BMX Family.

Sementara itu, Sofea berkata, dia mula berminat menceburkan diri dalam aktiviti sukan lasak tersebut selepas melihat ayahnya berlatih.

"Mula-mula saya main untuk suka-suka, selepas melihat aksi ayah, minat saya timbul. Saya mula beritahu ayah bahawa saya minat untuk belajar trik-trik ini.

"Mulanya, ingatkan ayah tak izinkan sebab sukan ini banyak kepada golongan lelaki tetapi ayah adalah orang yang paling banyak bagi dorongan dan melatih saya.

"Ayah merupakan individu penting yang bertindak sebagai jurulatih peribadi saya selama ini. Basikal semua ini, ayah yang belikan, memang ayah sokong saya.

"Memang susah sikit hendak buat trik baru, ada sesetengah trik ambil masa lama untuk belajar," katanya lagi..

photo_2024-12-20_22-27-27

Sofea (kanan) bersama seorang lagi atlet licik sukan BMX, Ayden BamBam (Kiri).

Menurut Sofea lagi, dia tidak pernah berasa kekok bermain dalam sukan sukan BMX Freestyle Flatland meskipun berhijab.

"Mula-mula agak susah sebab pergerakan terbatas tetapi lama-kelamaan saya sudah dapat menyesuaikan diri dan yang penting aurat saya terjaga.

"Pada masa sama, bila saya menjaga aurat dan cara berpakaian, ia sekali gus dapat menepis stigma sesetengah pihak sukan ekstrem ini tidak sesuai bagi mereka yang bertudung.

"Misi saya sekarang ialah untuk melayakkan diri menyertai Sukan Sea 2025," katanya lagi sambil tersenyum.

Untuk rekod, pada usia 16 tahun, Sofea telah memenangi pelbagai pertandingan di peringkat dalam dan luar negara antaranya ialah juara bagi Kategori Flatland Wanita elit bagi Kejohanan Kebangsaan BMX Freestyle 2023.

Selain Sofea, adik beradiknya yang lain turut meminati hobi sukan lasak BMX dan sudah mula menempa nama dalam sukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram