KEBERGANTUNGAN terhadap import dari Jepun bukanlah pendekatan yang kerap diambil kelab-kelab Liga Super kerana masing-masing berdepan kesukaran untuk menampung permintaan gaji mereka.
Bagaimanapun, setiap pemain dari negara Matahari Terbit itu sememangnya jarang mengecewakan dengan kelab Pantai Timur, Terengganu FC merupakan antara yang pasti bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Ini kerana melihat kepada 10 tahun kebelakangan ini, skuad Sang Penyu pernah diperkuatkan Bruno Suzuki dan Issey Nakajima-Farran yang masing-masing memiliki hubungan rapat dengan gergasi bola sepak Asia tersebut.
BACA LAGI: Kecemerlangan Harimau Malaya ikat Korea pikat bintang Jepun ke Liga Super
BACA LAGI: Jang Naruto cemerlang sepanjang pramusim, silap-silap Selangor, JDT, TFC minat 'masuk line'
Issey Nakajima merupakan antara import Jepun pernah menyarung jersi Sang Penyu.
Meskipun tidak pernah beraksi di samping antara satu sama lain, kedua-dua pemain itu meninggalkan impak cukup besar buat kelab terbabit dengan kesungguhan mereka di atas padang sukar dipersoalkan.
Namun, di sebalik dua import Jepun itu, penyokong Hitam Putih seperti melupakan seorang lagi bintang dari negara itu, iaitu Masaki Watanabe yang pernah menyertai pasukan tersebut pada penghujung 2020.
Bek tengah terbabit sememangnya dikenali dalam arena bola sepak tanah air kerana pernah beraksi buat tiga kelab tempatan yang lain, iaitu Perlis FA, Felda United dan Kelantan FC.
Tetapi, kehadirannya yang diharapkan dapat memberi impak besar buat skuad Sang Penyu tidak kesampaian apabila pertahanan tersebut hanya sempat beraksi buat skuad muda Terengganu FC.
Peluang terhad tersebut bagaimanapun tidak memadam namanya dalam kalangan peminat pasukan itu kerana baru-baru ini, penyokong menerusi laman Facebook Bola Sepak Terengganu jelas mengingati akan tarikh kehadirannya ke kelab berkenaan.
Watanabe hanya menghabiskan tempoh semusim buat Terengganu FC II. — Facebook/Bola Sepak Terengganu
"Pada hari ini (Khamis), empat tahun lepas Terengganu FC menandatangani pemain asal Jepun ini selepas Issey Nakajima-Farran dan Bruno Suzuki. Namun, dia hanya digunakan bersama dengan Terengganu FC II dengan 22 penampilan," katanya.
Hantaran berkenaan sekali gus membuktikan Watanabe masih dirindui sebahagian penyokong setia Sang Penyu yang mengagumi kesungguhan serta komitmen dicurahkan bek Jepun terbabit.
Namun, di sebalik kerinduan dicurahkan kepada bekas pemain tersebut, ada yang sempat mengharapkan Terengganu FC kembali meletakkan kepercayaan terhadap import dari Jepun dengan bintang Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki sebagai calon terbaik.
"OK, kalau begitu, cuba dapatkan pemain Jepun dari Negeri Sembilan tu, licah betul nampaknya," kata Ali Hassan.
Sasaki menjadi sasaran beberapa pasukan Liga Super. — Facebook/Negeri Sembilan FC
"Pemain Negeri Sembilan, saya pun berminat dengannya. Pemain begini Terengganu FC memang perlukan kerana gaya permainannya seperti Syafik Ismail," kata Shamsor Mohamad.
"Dia ni sudah tua, tetapi Terengganu FC boleh cuba dapatkan Takumi ni," kata Mizee Abu Bakar.
Sepanjang beraksi buat skuad Jang, Sasaki sudah diturunkan sebanyak 15 kali dalam kempen Liga Super dengan satu jaringan dan tiga bantuan gol direkodkan buat kelab berkenaan.
Bagaimanapun, sumbangannya gagal membawa impak besar buat Negeri Sembilan FC yang terus terperosok ke dasar liga dengan hanya satu kemenangan dan tiga keputusan seri direkodkan.
Situasi itu menyaksikan beberapa kelab Liga Super, termasuk Selangor FC disebut-sebut berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan selepas masing-masing amat berminat dengan kelincahannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram