KETIKA ini, tugasan penjaga gol Terengganu FC diisi pemain muda, Rahadiazli Rahalim atau Syed Nasrulhaq yang bagaimanapun sukar mencuri hati penyokong atas kesilapan demi kesilapan yang kerap dilakukan.
Pemilihan mereka itu menimbulkan tanda tanya kerana peminat Hitam Putih lebih meminati sentuhan Suhaimi Husin yang lebih konsisten.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, pemain berusia 30 tahun itu tidak lagi diturunkan meskipun sepanjang musim lalu, dia merupakan antara bintang utama buat skuad Sang Penyu.
BACA LAGI: Bapa Suhaimi Husin meninggal dunia, selamat dikebumikan di Besut
BACA LAGI: Berkat prestasi cemerlang, Suhaimi Husin terima seruan KPG sertai Harimau Malaya
Suhaimi merupakan antara penjaga gol terbaik Liga Super musim lalu. — Facebook/Terengganu FC
Menurut maklumat di laman sesawang transfermarkt, kali terakhir Suhaimi beraksi adalah ketika mereka berdepan Perak FC di Stadium Manjung, Perak yang berakhir dengan keputusan 2-2.
Sejak itu, dia tidak lagi diberikan minit permainan kompetitif memandangkan penampilan di bangku simpanan ketika Terengganu FC berdepan Melaka FC dalam Piala Malaysia adalah kali terakhir penyokong melihat kelibatnya.
Namun, persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila pemain itu difahamkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital dengan perkara tersebut dikongsikan rakan sepasukannya, Akhyar Rashid.
Dalam hantaran di laman Instastory Akhyar, kelihatan penjaga gol berkenaan menyarung pakaian hospital, namun tidak dapat dipastikan kecederaan apa dia alami memandangkan tiada sebarang laporan mengenainya.
Suhaimi kini sedang menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.
Malah, dalam foto di padang latihan yang dimuat naik, Suhaimi masih kelihatan bersama rakan sepasukannya, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai nasib pemain berkenaan.
Sekiranya Suhaimi tidak dapat diturunkan bagi jangka masa panjang, Terengganu FC perlu segera memilih sama ada mahu menurunkan Rahadiazli atau Syed Nasrulhaq dengan penggiliran secara kerap akan mengganggu konsistensi mereka.
Keputusan seperti sudah dibuat pengendali sementara, Badrul Afzan Razali yang meletakkan Rahadiazli dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia pada Sabtu lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram