Stano beri kredit kepada OKS, Badrul Afzan enggan tunduk kepada JDT


  • Podium
  • Khamis, 26 Dis 2024

Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bakal menyaksikan pertembungan antara TFC berdepan JDT bermula 17 Januari 2025 dan Sabah FC menentang Sri Pahang FC pada 18 Januari 2025.

PERTARUNGAN sengit menanti empat pasukan selepas layak ke pusingan separuh akhir bagi merebut slot ke pentas final Piala Malaysia 2024-2025.

Pertembungan suku akhir kedua antara Sabah FC dan Kuching City FC pada Isnin menjadi penutup tahun 2024 menyaksikan skuad kendalian Martin Stano mara ke separuh akhir selepas menang dengan agregat 1-0.

Perlawanan di Stadium Likas pada Isnin lalu bagaimanapun bukan mudah buat pasukan tuan rumah apabila Kuching City memberikan tentangan cukup sengit untuk menjelmakan jaringan.

BACA LAGI: Menang bergaya ke semifinal, fans Gergasi Merah masih belum maafkan Ronnie

BACA LAGI: Hanya TMJ tahu apa yang terbaik, saya sayang Malaysia — Bergson

Namun, Stano memuji semangat juang anak buahnya untuk terus bertahan dan keputusan yang berakhir tanpa jaringan sekali gus melayakkan Sabah ke pentas separuh akhir berdepan Sri Pahang FC menerusi satu gol yang terhasil ketika suku akhir pertama tempoh hari.

"Perlawanan yang sangat sukar buat kami, dan kita boleh lihat babak pertama perlawanan agak terbuka dan pemain semakin hilang fokus.

"Tetapi kita bernasib baik untuk akhirnya layak ke separuh akhir dan kredit saya berikan juga kepada pengendali sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee yang sudah bina skuad ini daripada awal.

"Kita ada potensi besar dan banyak yang kita ingin capai termasuklah mara sejauh mungkin dalam Piala Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) juga tidak berdepan laluan mudah apabila bakal menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir.

Pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali menyifatkan pasukannya mempunyai masa mencukupi bagi mempersiapkan diri berdepan JDT di mana beliau sedar banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan misi ke final tercapai.

“Kita tahu Negeri Sembilan bermain bermati-matian di suku akhir dan pemain saya berjaya bangkit untuk dapatkan jaringan.

“Apa pun, saya bersyukur kita dapat mara ke separuh akhir dan kita semua tahu kekuatan JDT, jadi kita tidak boleh terlalu menghormati mereka dan perlu lawan sehabis baik”, katanya.

Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia bakal menyaksikan pertembungan antara Terengganu berdepan JDT bermula 17 Januari 2025 dan Sabah FC menentang Sri Pahang FC pada 18 Januari 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram