TERENGGANU FC (TFC) musim ini bermula dengan penuh kejutan apabila mengumumkan kemasukan beberapa pemain bertaraf bintang bola sepak negara seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Duo serangan itu hadir ke kem skuad Sang Penyu selepas majikan mereka iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) memutuskan untuk meminjamkan khidmat mereka kepada Terengganu demi mendapatkan minit permainan.
Tidak dinafikan kemasukan dua pemain itu memberikan impak untuk jentera hadapan Sang Penyu namun penglibatan mereka tidak dapat menutup beberapa kelompangan Terengganu sehingga menyaksikan Sang Penyu mengalami prestasi turun naik musim ini.
BACA LAGI: Legenda Terengganu yakin Sang Penyu buat permohonan turunkan Safawi, Akhyar berdepan JDT
BACA LAGI: Akram beri peringatan, kelebihan 2 gol bukan tiket Terengganu pandang mudah NSFC
Terengganu musim ini terlepas peluang menjadi finalis Piala FA 2024 selepas pernah menjadi naib johan pada 2022, kesempatan untuk mara ke pentas akhir Piala Malaysia pula boleh diulang jika berhasil menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Di saingan Liga Super 2024/2025 pula menyaksikan pasukan dari Pantai Timur itu kini menghuni tangga keempat dengan merekodkan enam kemenangan, enam seri dan selebihnya tewas selepas mengharungi 16 perlawanan.
Boleh dikatakan prestasi tidak menentu itu berpunca daripada beberapa perkara malang yang menimpa Terengganu seperti masalah kecederaan pemain utama, tonggak penting tinggalkan pasukan dan berlaku isu pengurusan.
Meskipun tidak mengalami masalah gaji seperti kelab lain namun tidak keberatan andai gelaran 'Pasukan Paling Malang' musim ini diberikan kepada Terengganu selepas skuad Peteh itu terpalit beberapa isu;
1) Pemain cedera
Masih tiada perkembangan terkini mengenai Mamut usai pembedahan pada Ogos lepas. — Facebook/TFC
Lambakan pemain ditimpa masalah kecederaan sebenarnya menjadi episod pertama untuk siri malang TFC dan menyaksikan bek kanan, Azam Azmi Murad mengalami kecederaan lutut akibat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada April lepas.
Selepas Azam, Terengganu kehilangan pula peledak utama mereka iaitu Ivan Mamut selepas pemain kelahiran Croatia itu terpaksa disisihkan Terengganu kerana mengalami kecederaan tendon Achilles.
Kali terakhir peminat mendengar khabar mengenai Mamut adalah pada Ogos lepas apabila dilaporkan dia menjalani pembedahan di Finland. Isu Mamut tak selesai, Matthew Steenvoorden pula kecederaan lutut dan kini sudah meninggalkan Sang Penyu.
Masalah tersebut terus bersambung apabila Akhyar mengalami kecederaan di kaki dan kepala selepas didakwa menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu pada Mei lepas.
Terbaharu, penjaga gol utama TFC, Suhaimi Husin terpaksa berehat sehingga enam bulan akibat kecederaan lutut sekali gus terlepas aksi dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.
2) Pemain tinggalkan pasukan
Tahun ini juga menyaksikan skrip pemain meninggalkan pasukan sebelum musim berakhir berlaku di kem Terengganu apabila Steenvoorden mengucapkan selamat tinggal Sang Penyu pada Oktober lepas dan diperkenal secara rasmi sebagai pemain baharu bagi HNK Gorica.
Isu 'kaki kaca' yang menimpa Steenvoorden di awal musim memaksa pemain berusia 31 tahun tersebut hanya mencatat empat penampilan bersama Terengganu dalam kempen Liga Super.
Selepas Steenvoorden, nadi tengah Terengganu awal musim ini iaitu Marin Pilj juga memutuskan untuk meninggalkan pasukan pada 25 November lepas dengan masalah peribadi menjadi punca.
Pilj sebelum ini bermain di liga sekitar Eropah, tiba di Malaysia dengan reputasi menjanjikan, namun kegagalannya untuk menyerlah di Liga Super mencerminkan cabaran besar yang dihadapi pemain asing dalam menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak tempatan.
Sepanjang bersama Terengganu, pemain berusia 26 tahun itu merupakan antara import cemerlang Sang Penyu apabila mencetak dua jaringan gol dan satu bantuan gol dalam 16 penampilan bagi semua perlawanan musim ini.
3) Kehilangan nakhoda
Steinbruckner menerima kritikan hebat penyokong Terengganu akibat prestasinya. — Facebook/TFC
Bukan hanya kehilangan pemain, naib juara Piala Malaysia musim 2023 itu juga mengucapkan selamat tinggal kepada 'nakhoda' mereka apabila Tomislav Steinbruckner sah meninggalkan jawatannya sebagai jurulatih pada Oktober lepas.
Pemergian Steinbruckner berpunca daripada prestasi kelab yang tidak baik dalam Liga Super serta Piala Shopee di awal musim. Sejak itu, pihak pengurusan seolah-olah menerima cadangan penyokong yang mahu menyaksikan jurulatih Croatia itu meninggalkan pasukan.
Keputusan Steinbruckner bersetuju untuk mengundur diri daripada posisinya itu juga diikuti oleh penolong jurulatih, Ivica Vranjes dan jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic.
Susulan pemergian Steinbruckner, skuad Sang Penyu diambil alih oleh penolong jurulatih kelahiran Terengganu, Badrul Afzan Razali dan dibantu oleh pengendali Terengganu FC II (TFC II), Hairuddin Omar.
Di bawah kendalian Badrul Afzan sejak 3 Oktober lepas, jurulatih itu sudah memberi dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam saingan Liga Super. Di saingan Piala Malaysia pula, TFC berhasil mara ke separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram