[VIDEO] Kecoh Guardiola bukan jurulatih 'ubi muda', jangan tak percaya Malaysia juga ada Nafuzi Zain 'copy ori' Jurgen Klopp, lahirkan 13 bintang Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 25 Dis 2024

Nafuzi turut berani sama seperti Klopp dalam memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk mempamerkan bakat mereka.

KECOH di Eropah ketika ini apabila peminat bola sepak membahaskan tentang pengendali Manchester City, Pep Guardiola bukanlah jurulatih yang mampu melahirkan bakat-bakat baharu susulan prestasi merudum The Citizen.

Kehilangan maestro City, Rodri Cascante nyata memberikan kesan negatif kepada prestasi semasa juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu yang kini terjerumus di tangga keenam liga.

Peminat bola sepak mula membandingkan kaedah yang digunakan oleh bekas pengendali Liverpool FC, Jurgen Kloop yang berani mempertaruhkan pemain-pemain muda semasa pasukan itu dilanda siri kecederaan bintang-bintang utama.

BACA LAGI: [VIDEO] Perjelas insiden amuk di 'dressing room', ex import TFC dedah ayah tak restu main bola, cari duit kerja kedai runcit

BACA LAGI: [VIDEO] Selain Bergson da Silva, 4 pemain lulus peraturan FIFA boleh bantu Peter Cklamovski perkuat Harimau Malaya tahun depan

Mengalih kembali pandangan ke Liga Super, penyokong juga perlu berbangga kerana di Malaysia turut mempunyai ramai jurulatih yang berani mempertaruhkan bakat-bakat baharu yang kini sedang beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antara individu yang telah melahirkan ramai bakat-bakat muda berkualiti ialah Nafuzi Zain ketika beliau menjawat dua jawatan penting selaku ketua jurulatih Piala Presiden Kelantan FA (kini dikenali TRW Kelantan) dan Piala Presiden T-Team.

Sudah pun dilantik menjadi pengendali Harimau Muda pada 16 Disember lalu, Majoriti senaraikan 13 bintang yang telah digilap oleh Nafuzi Zain sepanjang kariernya sebagai jurulatih:

1. Ahmad Syihan Hazmi

Ahmad Syihan Hazmi penjaga gol utama skuad kebangsaan yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan.

Syihan merupakan salah satu bakat muda yang mencuri perhatian dalam Liga Malaysia dengan ketangkasan luar biasanya dalam menyelamatkan bola di gawang gol.

Memulakan karier bola sepaknya di peringkat belia bersama skuad Piala Presiden Kelantan sebelum menonjolkan bakatnya di pasukan senior.

Pemain berusia 28 tahun itu terus mencuri tumpuan apabila keupayaannya membaca permainan, reaksi pantas, dan refleks yang tajam menjadikannya salah seorang penjaga gol terbaik di Malaysia.

2. Nik Akif Syahiran

Nik Akif Syahiran merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan yang beraksi di posisi tengah.

Nik Akif terkenal dengan kebolehannya mengawal permainan, hantaran yang tepat, dan visi taktikal yang tajam di atas padang.

Pemain berusia 25 tahun itu turut memulakan karier bola sepaknya di peringkat belia bersama Piala Presiden Kelantan yang mana bakatnya mula menyerlah.

Prestasinya yang konsisten menarik perhatian ramai dan membuka jalan untuknya menyertai pasukan senior Kelantan pada usia muda.

Bersama skuad senior Kelantan, dia mempamerkan keupayaannya sebagai pemain tengah kreatif yang mampu mengubah corak permainan dengan kelincahan dan kecerdasannya.

3. Shahrul Nizam Ros

Shahrul Nizam Ros pemain pertahanan yang terkenal dengan ketangkasan dan kecekapan sebagai pertahanan.

Gaya permainan yang tegas tetapi bijak, Shahrul antara tonggak penting buat Terengganu FC sejak 2021 sama ada di peringkat kelab mahupun antarabangsa.

Shahrul memulakan perjalanan karier bola sepaknya melalui pasukan belia Kelantan yang mana kemahirannya mula menarik perhatian jurulatih.

Ketangkasan dan dedikasinya dalam latihan membolehkan dia melangkah ke pasukan utama Kelantan, yang merupakan permulaan kepada kejayaan karier profesionalnya.

Main Pix - 1

Antara pemain-pemain yang pernah digilap oleh Nafuzi.

4. Pemain-pemain Piala Presiden Kelantan FA

Selain tiga nama di atas, antara nama berjaya digilap oleh Nafuzi semasa menjadi pengendali skuad Piala Presiden Kelantan ialah Muhammad Faiz Nasir, Wan Amirul Afiq (Kedah Darul Aman FC), Muhammad Azwan Aripin (Sri Pahang FC) dan Muhammad Hakimi Abdullah (Kelantan Darul Naim FC) yang mana semuanya kini beraksi dalam Liga Super.

Manakala dua nama lain iaitu Nik Shahrul Azim (ejen bebas) dan Faris Shah (PT Athletic FC) hanya beraksi di liga-liga amatur ketika ini.

5. Muhammad Safawi Rasid

Selain melahirkan ramai anak-anak jati di Kelantan, Nafuzi juga menjadi penyumbang terbesar dalam karier Muhammad Safawi Rasid ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengendali Piala Presiden T-Team di Terengganu.

Safawi seorang pemain bola sepak yang paling menonjol dalam generasinya dengan kepantasan, kelincahan, dan kemampuan menjaringkan gol dari pelbagai sudut.

Safawi telah mengukuhkan dirinya sebagai salah satu pemain sayap terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini.

Memulakan langkah awalnya dalam bola sepak bersama pasukan belia T-Team, prestasinya yang cemerlang ketika di peringkat akar umbi membuka jalan untuknya menyertai skuad senior T-Team pada usia muda.

Bakat dan dedikasinya yang luar biasa menjadikannya pemain utama pasukan tersebut dalam masa yang singkat.

Pada 2017, Safawi menyertai kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT), yang menjadi platform untuknya bersinar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bersama JDT, dia membantu pasukan meraih pelbagai kejuaraan, termasuk Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA.

Safawi dikenali kerana kebolehannya mencipta peluang, menjaringkan gol jarak jauh, dan ketepatan sepakan percuma yang memukau.

6. Muhammad Faisal Halim & Muhammad Alif Zakaria

Nafuzi Zain, dikenali bukan sahaja kerana kejayaannya di Liga Super Malaysia tetapi kemampuannya untuk mencungkil dan menggilap bakat pemain muda.

Antara hasil kerja cemerlangnya adalah perkembangan karier dua pemain berbakat Malaysia iaitu Muhammad Faisal Halim dan Muhammad Alif Zakaria semasa mengendalikan Terengganu.

Beliau percaya bahawa bakat muda adalah asas kepada kejayaan bola sepak jangka panjang.

Faisal Halim, yang lebih dikenali sebagai 'Mickey', adalah satu daripada pemain sayap paling lincah di Malaysia.

Di bawah bimbingan Nafuzi, Faisal menunjukkan peningkatan yang ketara dalam aspek fizikal, teknikal, dan mental.

Keupayaannya untuk menjaringkan gol dan mencipta peluang semakin menyerlah, menjadikan dia pemain utama untuk pasukan kebangsaan dan kelab.

Nafuzi memberikan Faisal kebebasan untuk mengekspresikan kreativiti di atas padang, sambil menekankan pentingnya kerja berpasukan.

Alif Zakaria pula adalah seorang pemain muda yang sedang meniti kejayaan di bawah tunjuk ajar Nafuzi.

Alif telah menunjukkan potensi besar sebagai pemain pertahanan dengan Nafuzi memberikan perhatian khusus kepada pembangunan taktikal untuk membantu pemain muda itu memahami permainan dengan lebih mendalam.

Dengan peluang yang diberikan oleh Nafuzi untuk bermain di perlawanan kompetitif, Alif semakin matang sebagai pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram