PENCAPAIAN melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2024/25 sememangnya sesuatu yang diraikan penyokong Terengganu FC dalam misi mereka menamatkan penantian menjulang kejuaraan.
Bagaimanapun, perasaan itu hanya berkekalan sementara kerana skuad Sang Penyu akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang seakan-akan mustahil untuk disingkirkan.
Berdasarkan rekod mereka di peringkat domestik, kelab Selatan tanah air berkenaan hanya gagal merekodkan kemenangan dalam satu perlawanan, iaitu ketika aksi Liga Super berdepan PDRM FC di tempat lawan.
BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan
BACA LAGI: Kecundang aksi pertama, Safawi Rasid tagih komitmen 100 peratus TFC kalahkan kelab Vietnam
Akhyar (kiri) dan Safawi masih milik skuad Harimau Selatan ketika ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Prestasi memberangsangkan itu sudah cukup untuk menceritakan misi berdepan skuad Harimau Selatan sesuatu perkara getir buat Terengganu FC sehingga ada yang mula menelan realiti mengenai peluang mereka melangkah ke perlawanan akhir.
Tidak cukup dengan itu, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali tersebut turut kehilangan dua tonggak utama, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid disebabkan terma-terma ditetapkan dalam kontrak mereka.
Ketiadaan pemain yang kerap digandingkan di posisi sayap menyerang itu hanya akan memberi kesan terhadap peluang mereka mencetak lebih banyak jaringan meskipun terdapat pelbagai pilihan di bahagian serangan.
Oleh itu, ketiadaan kedua-dua pemain pinjaman JDT itu sedikit sebanyak menutup peluang Terengganu FC untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 buat dua edisi berturut-turut.
Skuad Sang Penyu tewas 0-4 ketika kali terakhir berdepan JDT. — Facebook/Terengganu FC
Namun, legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki berasakan pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu akan membuat permohonan untuk menurunkan Safawi dan Akhyar dalam kedua-dua aksi berkenaan.
"Menurunkan Safawi dan Akhyar sememangnya sasaran Terengganu FC untuk setiap perlawanan kerana harapan kepada kedua-dua pemain itu memang tinggi, begitu juga daripada penyokong sendiri.
"(Saya berasakan) Terengganu FC akan membuat permohonan kepada JDT setiap kali mereka bertemu supaya halangan itu ditarik, itulah harapan mereka. Ini kerana bukan mudah layak ke separuh akhir Piala Malaysia kerana meskipun tiada hadiah berbentuk wang ringgit," katanya kepada Majoriti.
Kali terakhir skuad Sang Penyu berdepan jaguh bola sepak negara itu adalah pada 26 Julai lalu yang menyaksikan mereka mencetak kemenangan 4-0 hasil jaringan hatrik Bergson da Silva dan satu gol daripada Heberty Fernandes.
Che Ku mahu skuad Sang Penyu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Persembahan lebih baik sudah tentu akan dipamerkan, terutamanya ketika aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 17 Januari depan yang juga merupakan separuh akhir pertama antara mereka.
Che Ku turut berpandangan kelebihan beraksi di laman sendiri perlu diambil sepenuhnya oleh anak-anak buah Badrul sekiranya mereka memasang cita-cita melangkah ke perlawanan akhir.
"Untuk katakannya sebagai peluang akhir mereka seperti tidak logik. Separuh akhir pertama di Terengganu adalah peluang untuk mencari kemenangan walaupun hanya dengan satu jaringan. Ini boleh sekurang-kurangnya memberi semangat untuk pemain bagi mempunyai kelebihan ke Johor," katanya lagi.
Walaupun kini tidak bersama Terengganu FC, Che Ku sememangnya mempunyai pengaruh besar di negeri Pantai Timur tersebut kerana beberapa kali terlibat bersama T-Team sebelum ia dibubarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram