Kecemerlangan Harimau Malaya ikat Korea pikat bintang Jepun ke Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Sasaki merupakan juara saingan J League 3 sebelum berpindah ke Negeri Sembilan. — NSFC

KEHADIRAN pemain baharu buat Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki dilihat mampu memberikan kekuatan buat skuad Jang bagi menghadapi musim baharu Liga Super.

Baru berusia 25 tahun, Sasaki yang bermain di bahagian tengah dilihat teruja untuk beraksi di Liga Super kerana satu perkara iaitu Harimau Malaya.

Dia tidaklah memasang impian untuk menjadi pemain naturalisasi Malaysia pada masa akan datang, tetapi Sasaki menyatakan minat mendalam terhadap Harimau Malaya lebih-lebih lagi selepas skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mencatatkan keputusan seri 3-3 bertemu Korea Selatan di Piala Asia 2023.

Sasaki mengatakan dia mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan Malaysia dalam menjadi sebuah pasukan handalan Asia di masa akan datang.

"Keazaman skuad Malaysia dan persembahan baik di Piala Asia menarik perhatian saya. Mereka berkembang menjadi pasukan yang patut diberikan perhatian, dan saya ingin menjadi sebahagian daripada perkembangan itu.

"Ini juga merupakan cabaran baharu buat saya. Saya pernah bermain untuk skuad bawah 20 tahun Jepun dan beberapa pasukan di J League tetapi saya sentiasa mahu beraksi di luar negara dan melihat bagaimana saya beraksi di tempat orang," kata Sasaki.

BACA LAGI: Bawa reputasi Piala Asia, cubaan saingi Hidalgo antara 3 cabaran pemain Uzbek di Liga Super

BACA LAGI: Nasib Perlis United wajar disimpati, tapi lebih baik mereka kekal di Liga M3

Sasaki dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada serangan Negeri Sembilan kerana peranannya sebagai pemain tengah menyerang.

Menganggap dirinya sebagai pemain nombor 10 tulen, Sasaki yakin bakatnya boleh membawa Negeri Sembilan menuju kejayaan.

"Sasaran saya adalah untuk membantu pasukan mendapatkan kemenangan memandangkan itu adalah kemahiran dan kreativiti yang ada pada saya.

"Ia mungkin menarik untuk menghiburkan penyokong (dengan permainan bergaya), tetapi kita masih perlu pastikan kemenangan menjadi keutamaan," ujar Sasaki.

Sasaki merupakan antara pemain yang mencuri perhatian sepanjang penglibatannya dalam bola sepak. Namanya pernah mewakili Samurai Biru di pelbagai peringkat umur sehinggalah ke skuad B-20.

Malah sebelum ke Negeri Sembilan, dia pernah menyertai Ehime FC yang merupakan juara bagi saingan divisyen tiga di negara tersebut.

Untuk rekod, Malaysia merupakan negara pertama yang dijelajahi oleh Sasaki dalam kariernya. Dengan usia mula memasuki peringkat kemuncak dalam karier, pastinya dia boleh memberikan impak yang diharapkan kepada Negeri Sembilan. — THE STAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram