PENYERANG sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo memberi prestasi cemerlang menjelang Krismas dan perkahwinannya dengan menjaringkan tiga gol ketika pasukannya seri 3-3 menentang Perak FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Temerloh, Temerloh, Pahang pada Ahad.
Keputusan seri berkenaan membawa Tok Gajah ke separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3 apabila pada aksi pertama sebelum ini meraih kemenangan 1-0 di Perak.
Pemain kelahiran Argentina itu mendapat gol pertamanya seawal minit kelima dengan jaringan solo sensasi, apabila dia menggelecek dua pemain pertahanan di garisan tepi, sebelum menewaskan penjaga gol Perak, Haziq Nadzli.
BACA LAGI: Sabah sah bertemu Sri Pahang, fans The Cats persoal VAR berfungsi ke tak?
BACA LAGI: Prestasi lampau jadikan Pahang pilihan berbanding Sabah — Legenda The Rhinos
Tonggak berusia 25 tahun itu menambah dua lagi pada minit ke-30 dan ke-45 dari sepakan penalti dan semuanya dilakukan menggunakan kaki kirinya.
Manakala, gol Perak pula dijaringkan oleh pemain sayap Wan Zack Wan Haikal (8’), bek tengah Filipina Jesper Nyholm (ke-41) dan perancang, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil pada minit ke-54.
Hatrik Hidalgo menjadi kegemaran Temerloh dengan peminat menggelarnya sebagai hadiah Krismas yang sempurna.
"Selamat mengakhiri tahun ini dengan tiga gol dan berhasil mara ke separuh akhir. Bangga dengan rakan sepasukan saya untuk pertempuran ini," kata pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.
Hidalgo kini digelar 'Hatrik Hidalgo' selepas usahanya membantu Sri Pahang meraih tiket ke semi final Piala Malaysia.
Hidalgo telah kembali ke Argentina untuk sambutan Krismas, tetapi jurulatihnya, Fandi Ahmad mendedahkan terdapat lebih daripada perayaan untuk pemain itu usai tiba di negeri kelahirannya nanti.
“Saya gembira untuk Manu (Manuel) kerana dia kembali ke Argentina bukan hanya untuk Krismas. Dia juga akan berkahwin. Saya mengeluarkannya pada minit ke-82 walaupun dia mahu bermain, tetapi saya berkata dia memerlukan rehat sebelum perkahwinannya. Saya gembira untuknya.
“Hatrik adalah hadiah yang menakjubkan untuk Pahang kerana kami berada di separuh akhir, dan juga sesuatu untuk bakal isterinya apabila mereka pulang ke tanah air,” katanya.
Bagaimanapun, Fandi sebenarnya berharap pasukannya tidak melepaskan tiga gol di tempat sendiri, namun masih gembira dengan tempat separuh akhir di Piala Malaysia.
“Perlawanan itu bagus untuk kedua-dua pasukan. Perak menyerang kami secara agresif kerana mengetahui mereka ketinggalan 0-1 daripada perlawanan pertama.
“Kami telah melakukan kesilapan daripada bola mati dan itulah cara kami melepaskan beberapa gol. Perak memang mencuba tetapi kami bertukar kepada 5-3-2 pada peringkat akhir permainan.
“Tetapi kami berada di peringkat seterusnya. saya bersyukur. Kami belajar daripada permainan ini untuk menjadi lebih baik dalam perlawanan akan datang. Kami menyasarkan untuk ke final. Kami tidak tahu siapa yang kami hadapi tetapi mesti bersedia dengan sebarang kemungkinan,” kata jurulatih dari Singapura itu.
Pahang akan meneruskan tugas mereka pada tahun depan apabila menentang Negeri Sembilan dalam Liga Super pada 10 Januari. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram